Pelakon Datin Seri Maria Farida memang cukup terkenal dengan kecantikannya. Sentiasa kelihatan muda dan presentable, siapa sangka, aktres dengan nama lengkap Maria Farida Atienza itu kini telah menjengah usia 52 tahun!

Sungguhpun begitu, rezeki Maria dalam industri lakonan masih lagi utuh. Lihat sahaja kelibatnya yang tidak pernah putus muncul di kaca televisyen. Maklumlah, selain cantik rupawan, Maria juga cukup berbakat dalam bidang lakonan.

Keberadaan Maria di platform media sosial juga cukup disenangi peminat. Tidak hairanlah jika pelakon drama Cari Aku Di Syurga itu dilihat senang melayan peminat dalam sesi soal jawab yang diadakan di Instagram Storynya baru-baru ini.

Menerusi soalan pertama, pengikut Maria bertanyakan bagaimana dia menjaga tubuh, rambut dan kulit memandangkan Maria dilihat lebih muda daripada usianya.



“Segalanya tentang minda. Jika kamu berasa muda dan gembira, ia akan terlihat pada penampilan kamu. Sebab itu kamu perlu sentiasa berpandangan positif dalam hidup dan jangan benarkan perkara negatif memasuki hidup kamu.

Selain itu, Maria turut menjawab soalan yang sama iaitu rahsianya untuk kekal muda menerusi Instagram Story seterusnya.

“Jaga kesihatan, jangan merokok, selalu menjadi baik dan jangan kuat mengumpat,” katanya sambil berpesan supaya melakukan hal-hal yang digemari untuk kekal muda, selain sentiasa berfikir benda-benda baik.

Dalam pada itu, peminat turut bertanya tentang beberapa soalan mengenai karier Maria sebagai pelakon. Menerusi satu soalan, ada yang bertanya tentang watak lakonan yang akan ditolak daripada dilakonkan.



“Apa sahaja watak yang terlalu seksi atau merendahkan (diri). Buat masa sekarang, saya hanya terima watak yang saya rasa selesa untuk mainkan dan juga produksi dan team yang bagus!” jawabnya.

Sebelum menutup sesi soal jawab, Maria turut ditanya bilakah dia bercadang untuk bersara dari dunia lakonan. Maria secara ringkas menjawab: “Tidak tentu… melainkan industri sudah tidak mahukan saya lagi,” katanya.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!