Dalam dua entri di Instagram miliknya, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan berkongsi dua nota panjang sempena hari kelahirannya yang ke 63.

Berikut adalah sebahagian daripada nota yang ditulis pada dua entri berbahasa Inggeris mengimbau kembali kepada tahun-tahun sebelumnya.

"Pertama sekali saya nak ucapkan terima kasih pada semua yang mengirimkan doa dan ucapan sempena hari lahir saya yang ke-63 tahun.

"Ketika kita semua meninggalkan tahun 2020, saya tak akan lupa saat sedih dan kesakitan dimasukkan ke hospital apabila terkena penyakit kayap (shingle) yang menyebabkan kerosakan pada saraf kaki saya dan jatuh sakit selama tiga bulan.

"Arwah isteri saya juga sakit kencing manis dan menghadapi kesakitan sepanjang 2019 hinggalah dia meninggal dunia pada March 2020. Perkara itu sahaja cukup untuk meluluhkan hati saya dalam diam.

"Kita melalui PKP akibat pandemik dan kemudiannya ibu saya pula didiagnosis dengan kanser payu dara tahap 3 yang merebak ke bahagian kelenjar limfa.

"Antara arwah bekas isteri saya, ibu dan saya sendiri, bil perubatan mencecah berpuluh-puluh ribu kalau tidakpun ratusan ribu. Saya rasa seperti apa yang saya kerjakan selama ini semuanya dihabiskan kepada keperluan perubatan.

"Namun saya sabar, sentiasa tersenyum dan sentiasa tunjukkan wajah yang ceria. Saya faham dengan dugaan Allah yang diturunkan kepada saya dan pengorbanan yang saya perlu lakukan.

"Allah tetap memberikan rezeki kepada saya dan juga visi baru untuk saya. Daripada tahun 2019 hingga 2020, kita sudah membuka tiga restoran. Biarpun dalam keadaan pandemik, kami bekerja keras dan berusaha untuk mendapatkan 80 orang pekerja, daripada cef hinggalah pihak pengurusan dan turut melakukan kebajikan secara diam dengan bantuan rakyat Malaysia.

"Kami berikan harapan, skil dan inspirasi untuk mereka berjaya setiap hari dengan kerja keras mereka sendiri. Nama brand itu 'Chef Wan' tetapi kerja keras mereka secara bersama yang menjadikan ianya berjaya hingga ke hari ini.

"Kepada semua peminat, terima kasih kerana membantu saya untuk membantu mereka yang lainnya. Sebab Allah sayangkan sayalah di hantar segala ujian dan rezeki bukan sahaja untuk menbantu diri dan keluarga saya malahan juga untuk masyarakat kita.

A post shared by chef wan (@_chefwan58)


"Ingatlah setiap ujian hidup kita pasti ada segala pelajaran yang datang dari Yang Esa. Tiada apa yang kita rugi dari segala kesusahan yang juga datang sikap bertanggungjawab dan pengorbanan dari jiwa kita.

"Semakin tua usia saya, semakin ia membantu saya lebih matang dan mengetahui banyak perkara. Saya juga rasa lebih kerdil dan jiwa saya menjadi semakin besar.

"Saya faham dengan kesilapan-kesilapan yang dilakukan dan orang-orang yang terluka dengan saya pada masa lalu, dan perbuatan tersebut tidak harus berlarutan. Ada ketikanya berdiam diri lebih baik jika kita tidak ada apa-apa yang baik untuk diperkatakan.

"Kita tidak mampu untuk menukar dunia tetapi kita boleh menukar diri kita untuk memberikan inspirasi kepada orang lain menjadikan dunia ini lebih baik melalui cara dan perbuatan baik kita.

"Lakukanlah segalanya dengan kejujuran dan keiklasan. Penuhi diri kita dengan perasaan kasih sayang, belas kasihan dan simpati di dalam hati dalam kita melalui fasa hidup kita ini," tulis Chef Wan mengakhiri nota panjang hari lahirnya yang ke-63.

A post shared by chef wan (@_chefwan58)


Selamat ulang tahun hari kelahiran yang ke-63 untuk Chef Wan daripada Gempak.

Kredit Gambar: Instagram Chef Wan