RAISE THE STAR MY

Raise The Star Malaysia: Akur Tersingkir, Boss Wan Anggap Masalah Teknikal Punca Markah Kurang - "Kalau Dibandingkan Dengan..."

Asyraf Roslan 30/06/2025 | 07:55 MYT

Bintang Raise The Star Malaysia (RTSMY), Boss Wan akur keputusan juri apabila menjadi salah seorang peserta yang tersingkir untuk minggu kedua.

Bagaimanapun, Boss Wan tetap meluahkan rasa syukur dengan peluang yang diberikan kepadanya untuk menyertai program hiburan tersebut.

“Kalau dibandingkan dengan persembahan minggu lepas saya rasa minggu ini saya dah berikan yang terbaik cuma sebab ada kesilapan teknikal yang menyebabkan kekurangan markah yang banyak.

“Tapi saya sangat bersyukur kerana diberikan peluang untuk duduk di pentas yang besar ini sebab saya tak pernah dapat peluang sebegini jadi Alhamdulillah,” katanya.

Boss Wan turut mengakui bahawa antara kekurangannya pada malam tersebut adalah kerana terlalu mengikut perancangan hingga menyebabkan persembahannya kelihatan kaku dan tidak spontan.

Dalam pada itu, Boss Wan juga merakamkan penghargaan buat peminat yang tidak henti-henti menyokongnya walaupun dia tidak berikan persembahan yang terbaik semasa di RTSMY.

“Saya rasa saya terlalu merancang yang membuatkan ia jadi tak natural. Saya ikut plan apa yang telah kami rancang tapi saya rasa sebab kaku tapi tak mengapa itu adalah satu pelajaran untuk saya.

“Saya juga nak ucapkan terima kasih kepada fan base saya walaupun persembahan saya tak cukup bagus tapi mereka tetap sokong saya. Itu adalah satu kekuatan yang saya ada tapi tiada di peserta lain,” tambahnya.

Menyanyikan lagu Chikadun nyanyian asal kumpulan Floor 88, Boss Wan hanya mendapat 29.07 peratus markah keseluruhan.

#Raise The Star Malaysia #Boss Wan