RAISE THE STAR MY
Raise The Star Malaysia: Bukan Dalam ‘Plan’, Rayme Tak Sangka Alpha Berlari Naik Pentas - “Saya Hanya Fikir…”
Bintang Raise The Star Malaysia (RTSMY), Rayme akui terkejut apabila kumpulan Alpha membuat kemunculan khas di atas pentas semasa menyanyikan lagu Monalisa (Bang Bang).
Menurut Rayme, dia langsung tidak diberitahu mengenai kejutan itu dan menyangka kemunculan rakan-rakannya hanya akan berlaku selepas persembahannya selesai.
“Pihak production tak cakap apa-apa pun mengenai perkara ini, saya memang tak expect langsung mereka akan naik. Saya hanya fikir selepas saya selesai baru mereka naik ke atas pentas untuk bersama saya.
“Tiba-tiba masa bridge tu, saya perasan mereka bangun dan terus berlari naik ke atas pentas, saya betul-betul tak expect tapi saya tetap alu-alukan mereka join saya atas pentas,” katanya kepada Gempak.
Rayme turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan kejutan istimewa itu terutamanya kumpulan Alpha yang dianggotai oleh Ariel Fesol, Araff, Sky, Izat Ibrahim, Ray-D, Rizal Rasid dan Daniel Sher yang sanggup hadir memberikan sokongan kepadanya.
“Saya nak berterima kasih kepada semua member Alpha, produksi dan Rocketfuel sebab buat kejutan ini. Saya sangat-sangat terharu terutama apabila nampak semua ahli Alpha datang luangkan masa untuk lihat persembahan saya di Raise The Star,” tambahnya.
Berjaya menambat hati juri menerusi persembahan tersebut, Rayme berjaya menduduki tangga pertama dengan markah keseluruhan sebanyak 69.92 peratus.
Must-Watch Video