RAISE THE STAR MY

Raise The Star Malaysia: Hantaran Cinta Beri Tuah Buat Zuana! Kongsi Duit Kemenangan Dengan Keluarga - “Pelbagai Pertolongan Yang Mereka…”

Asyraf Roslan 15/08/2025 | 13:55 MYT
Bintang Raise The Star Malaysia (RTSMY), Zuana meluahkan rasa terharu selepas dinobatkan sebagai naib juara dan dipilih oleh komposer terkenal, Ajai untuk menyanyikan lagu ciptaannya iaitu Hantaran Cinta.

Menurut Zuana, peluang tersebut adalah satu penghormatan besar yang tidak pernah dijangkakan.

“Saya sebenarnya tidak sangka akan berjaya mendapat naib juara dan dipilih oleh Ajai untuk menyanyikan lagu hasil ciptaannya. Jadi saya sangat berterima kasih kepada Ajai kerana memilih saya untuk mendendangkan lagu yang secantik melodinya,” katanya kepada Gempak.

Mengulas lanjut, Zuana berkata kejayaan itu turut menjadi hadiah buat keluarganya yang sentiasa memberikan sokongan tanpa henti.

“Sejujurnya, keluarga saya banyak membantu saya, pelbagai pertolongan yang mereka berikan kepada saya jadi kejayaan yang saya dapat ini sedikit sebanyak dapat membalas jasa mereka.

“Bukanlah orang kata duit dibalas dengan duit tapi sekurang-kurangnya kita ingat jasa orang yang banyak membantu mereka. Seperti yang ibu saya pesan bila senang nanti kita kena ingat orang yang banyak bantu kita,” tambahnya.

Zuana berjaya menduduki tempat kedua sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM20,000, trofi dan sebuah lagu.
#Raise The Star Malaysia #Zuana