Raise The Star Malaysia: Khalyn Terima Penyingkiran Dengan Hati Terbuka, Sedia Bangkit Semula - “Saya Percaya Pada Rezeki…”
Bintang Raise The Star Malaysia (RTSMY), Khalyn akur dengan keputusan juri selepas diumumkan sebagai peserta yang tersingkir untuk minggu ketiga.
Menurut Khalyn, dia yakin telah memberikan persembahan terbaiknya malam itu meskipun rezeki tidak berpihak kepadanya.
“Saya gembira sebab saya percaya dengan apa yang tertulis. Saya dah buat yang terbaik malam ini dengan adanya sedikit eksperimen untuk tonjolkan kelainan.
“Tapi tak mengapa sebab saya rasa ini adalah permulaan yang baharu dan saya tak akan mengalah,” katanya.
Dalam masa yang sama, Khalyn turut menyifatkan penyingkiran tersebut sebagai ruang untuknya memberi tumpuan kepada akademik memandangkan dia sedang menghadapi peperiksaan ketika ini.
Khalyn turut menegaskan bahawa dia tidak terlalu kecewa dengan keputusan yang diterima, sebaliknya menjadikan pengalaman ini sebagai pembakar semangat untuk terus mengejar impian dalam industri hiburan.
“Sekarang saya tengah menduduki peperiksaan jadi saya rasa itu sebab saya tersingkir sebab tuhan nak saya fokus pada akademik saya dahulu. Saya akan bina diri saya dan tak akan berhenti menyanyi, ini adalah masa untuk saya mencari diri saya dalam dunia nyanyian,”
“Saya tak nak cakap saya ralat atau tidak tapi apa yang pasti saya percaya pada rezeki. Ini bukan tempat untuk saya berhenti dan ia adalah satu permulaan yang baharu buat saya.
“Dan ini menjadi satu pembakar semangat untuk saya teruskan karier saya dalam industri seni,” tambahnya.