RAISE THE STAR MY

Raise The Star Malaysia: Mahu Beri Peluang Sama Rata, Shila Amzah Sediakan ‘Single’ Untuk Zury - “Lagu Itu Saya Baru…”

Asyraf Roslan 15/08/2025 | 08:55 MYT

Komposer dan penyanyi, Shila Amzah berkongsi telah menulis sebuah lagu khas untuk finalis Raise The Star Malaysia (RTSMY), Zury selepas bintang itu tidak berjaya mendapatkan lagu ciptaannya di konsert akhir program berkenaan.

Menurut Shila, lagu berkenaan baru sahaja siap ditulis dan akan dihantar kepada music arranger sebelum Zury memasuki studio rakaman.

"Sebenarnya bila producer cakap kami kena pilih dua orang saya membuat keputusan untuk sediakan satu lagi lagu sebagai persediaan kepada siapa yang tidak dapat menyanyikan lagu Cinta Dusta.

“Tapi lagu itu saya baru tulis belum hantar ke arranger sebab kita tak tahu siapa yang dapatkan. Memandangkan kita dah tahu siapa yang menyanyi lagu Cinta Dusta maka lagu baharu ini menjadi milik Zury" katanya kepada Gempak.

Pelantun Patah Seribu itu menjelaskan, tujuan dia menyediakan lagu tambahan buat finalis adalah untuk memberi peluang yang sama kepada Keka dan Zury untuk bersaing dalam industri seni suara.

"Selepas dah siap kami akan masuk untuk rakaman, dan saya nak ucap terima kasih kepada peminat Keka, Zury atas sokongan yang diberikan.

Saya selalu berada dalam pertandingan jadi saya sangat memahami perasaan berada di pentas pertandingan ini sebab itu saya buat keputusan untuk ada lagu tambahan supaya mereka dapat peluang yang sama dalam industri seni suara, doakan mereka," ujarnya

Zury gagal menempatkan diri ke pusingan kedua manakala Keka dipilih untuk membawakan lagu ciptaan Shila Amzah berjudul Dusta Cinta di pentas akhir RTSMY.

Keka dinobatkan sebagai pemenang tempat kelima dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000, trofi dan sebuah lagu.
#Shila Amzah #Raise The Star Malaysia #Keka #Zury