Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Raj Kumar Terpikat Dengan Suara Merdu Yana Yunus, Sarung Baju Sanding RM22,000... Ini Hal-Hal Menarik Sepanjang Majlis

Amri Hassan
26/09/2022 08:55 MYT
Ada tiga perkara menarik yang berlaku pada majlis persandingan penyanyi Yana Yunus di The Hall, KL Gateway Mall pada 24 September lalu.

Pertamanya, Yana atau nama sebenarnya Kameliana Mohd Yunus, 39, akhirnya memperkenalkan wajah suaminya yang dikahwini pada April lalu, yang masih bekerja di sebuah kilang gula di Seremban, Negeri Sembilan, Mohammad Raj Kumar Abdul Qayyum, 43.

Yana suara merdu, wajah cantik, sikap baik

Kata Yana, dia bersyukur majlis persandingan yang diakan sambil meraikan hari jadi suami tercintanya itu berjalan seperti dirancang.

"Tak sangka ramai yang datang pada hari ini. Faham-faham sajalah perkahwinan lain bangsa dan agama. Saya juga terharu kerana saudara-mara di pihak Raj ramai juga yang hadir.

"Ini merupakan perkahwinan kedua buat saya dan pertama buat Raj. Doakan agar jodoh kami berpanjangan.

"Sebenarnya sudah empat tahun kami berkenalan. Sebelum itu saya memang tak sukakan Raja. Tak sangka daripada tak suka akhirnya jatuh cinta. Saya sukakan Raj kerana dia seorang lelaki yang baik dan jujur. Raj juga pandai mengambil hati saya dan anak-anak saya. Itu yang buat saya senang bersamanya.

"Malah dia juga sudah berjanji tidak akan menghalang saya untuk terus menyanyi dan aktif dengan bidang yang saya suka. Itu yang buat saya mudah untuk menerima cintanya. Mungkin kami secocok kerana Raj memang suka melihat saya menyanyi," kata Yana.



Manakala, bagi Raj, dia jatuh hati pada Yana disebabkan kemerduan suara wanita itu.

"Sebelum ini kami selalu berjumpa dalam event yang Yana turut menyanyi. Saya suka dengar dia menyanyi kerana suara Yana yang merdu, wajahnya yang cantik dan sikapnya yang baik. Itu yang buat saya tertarik untuk terus berkenalan dengannya," kata Raj.

Baju RM22,000

Keduanya, Yana memilih untuk mengabadikan momen indah itu dengan menyarung persalinan baju dark champagne rekaan Anas Abdullah yang dianggarkan bernilai RM22,000.

Busana itu menurut Anas menggunakan fabrik jenis Japanese Duchess Satin dan french lace.

"Sebenarnya saya ingin menaja tetapi Yana tidak mahu dan sanggup membayar sebahagian daripada kos harga baju tersebut. Baju ini mahal kerana materialnya dan saya juga guna french lace untuk bahagian leher dan tudung.

"Begitu juga jahitan manik-manik menggunakan jahitan tangan yang mengambil masa sebulan untuk disiapkan," kata Anas.

A post shared by Anas Abdullah (@anasabdullah.kl)

Yana lancar lagu masa majlis sanding

Yang ketiganya, Yana memilih untuk melancarkan lagu baharunya berjudul Sahabat pada hari bersejarah itu.

"Lagu ni kisah hidup saya sendiri dengan sahabat saya. Kami terputus hubungan dan saya luahkan perasaan saya melalui lagu dan akhirnya daripada ‘humming’ terus tercipta sebuah lagu bertajuk `Sahabat’," katanya.

Tetamu juga turut dihiburkan dengan persembahan Yana bersama rakan-rakan artis seperti Mac Rahayu, Elda Susanti, Azura Aziz bersama suaminya.



Yana bukanlah nama baru dalam industri. Ketika berusia 15 tahun dia dilamar untuk menjadi artis rakaman Pony Canyon (M) Sdn Bhd (kini Interglobal Music) untuk tampil sebagai penyanyi dangdut. Yana juga pernah berduet bersama kumpulan Babylon serta terlibat dengan penghasilan album-album kompilasi.

Yana pernah muncul dengan album pertamanya ‘Demi Cinta’ (2005). Oleh kerana album ini menggunakan duit koceknya sendiri, maka Yana menerbitkan semula album ini pada tahun 2018. Beberapa buah lagu dalam album ini turut diberi penambahbaikan kualitinya. Akhirnya lagu-lagu dangdut, Demi Cinta dan Iyok-Iyok diterima baik peminat Yana.

#Penyanyi #Viral #Sanding #Suami #Anas Abdullah #Kilang Gula #Raj Kumar #Yana Yunus
;