Pelakon dan produser, Raja Azmi mendedahkan dia kini mudah merajuk dengan suaminya gitaris kumpulan CRK, Mohd Eddie Ghazali meskipun kepada perkara yang remeh.

Raja Azmi, 61, berkata perubahan itu disedari sejak kebelakangan ini dan akui kerana faktor usia.

“Saya rasa sejak akhir-kahir ini saya sering kali mudah merajuk dengan suami. Ada kala perkara remeh seperti tidak membelikan pakaian yang dikehendaki pun boleh buat saya terasa hati.

“Mujurlah suami memahami dan pandai memujuk serta mengambil hati saya kembali.

“Tapi bila difikirkan semula, terbit rasa bersalah kerana merajuk benda remeh seperti ini.

“Saya pun kadang-kadang terfikir mengapa jadi begitu, mungkin sebab faktor usia,” katanya kepada Gempak.

Raja Azmi dan Mohd Eddie berkahwin pada 13 Oktober 2013, namun bercerai setahun kemudian.

Mereka kemudiannya rujuk kembali dan kini, sudah empat tahun bergelar suami isteri.

Pun begitu, Raja Azmi akui kehidupan rumah tangga keduanya bersama gitaris kumpulan CRK, Mohd Eddie Ghazali kini lebih bahagia.

“Alhamdulilah saya kini lebih bahagia dengan perkahwinan kali ini dan saya lebih manja bila bersama suami.

“Saya harap perkahwinan ini akan berkekalan hingga bila-bila,” katanya lagi.

Raja Azmi ditemui pada majlis pelancaran pelantar kandungan digital Mr Mufe - My Lepak Buddy di sebuah hotel, di sini, semalam.

Dikendalikan syarikat tempatan, Malaya United Films & Entertainment Sdn Bhd, pelantar digital berkenan menawarkan kandungan segar, tulen, terkini dan bervariasi seperti telefilem, drama bersiri, filem pendek, filem cereka, program realiti, bual bicara dan program permainan. Ia bakal beroperasi sepenuhnya Julai depan.