Raja Azura Puji Lakonan Hafreez Adam Dah Tak ‘Kayu’ - “Saya Nampak Kematangan Dalam…”
Asyikin Mayudin
28/03/2024 06:55 MYT
28/03/2024 06:55 MYT
Pertama kali bergandingan dalam drama Malang Si Puteri, pelakon Raja Azura memuji lakonan Hafreez Adam yang dilihat tidak lagi ‘kayu’ seperti di awal kemunculan aktor itu dalam bidang seni.
Pernah menonton beberapa lakonan Hafreez, Raja Azura atau mesra disapa sebagai Kak Engku berkata dia melihat banyak perubahan yang ditunjukkan oleh Hafreez dalam drama gandingan mereka itu.
"Sebelum ini saya ada tonton beberapa drama lakonan Hafreez dan jika saya bandingkan lakonannya dahulu dengan drama terbaharu kami ini, saya nampak banyak perubahan daripada segi lakonan dia.
"Sebelum ini saya nampak macam banyak 'kayu' dalam lakonan dia tetapi sekarang tidak lagi. Saya nampak kematangan dalam lakonannya.
“Ini apa yang saya rasa kerana sebelum ini saya tidak pernah berlakon dengan dia," katanya kepada Gempak.
Raja Azura berkongsi perkara itu ketika sidang media bersama barisan pelakon Malang Si Puteri secara maya pada baru-baru ini.
Terbuka Terima Pendatang Seni Baharu
Dalam pada itu, Raja Azura berkongsi dia terbuka untuk menerima pendatang baharu dalam dunia lakonan dan sanggup berkongsi ilmu dan pengalaman kepada mereka.
Namun Raja Azura menegaskan, dia tidak akan memberi muka kepada artis yang tidak berdisiplin atau kekwat (sombong) kerana menganggap mereka seharusnya mempunyai sikap merendah diri untuk mempelajari ilmu lakonan.
"Saya terbuka menerima kehadiran pelakon kerana saya lihat mereka adalah pelapis yang akan menceriakan industri lakonan tanah air,” katanya.
Selain Raja Azura dan Hafreez, rama Malang Si Puteri turut dibintangi oleh pelakon popular termasuk Fasha Sandha, Wan Raja, Malek McCrone dan Aidit Noh.
Drama 50 episod ini bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat di Astro Ria pada pukul 6 petang.