Viral
Raja Bomoh Muncul Kembali, Pagar Satu Dunia Daripada COVID-19!
Masih ingat tak lagi kepada ‘Raja Bomoh’ atau nama sebenarnya Ibrahim Mat Zin yang pernah mencetuskan fenomena menerusi 'buah kelapa dan teropong ajaibnya' beberapa tahun lalu?
Sepi seketika selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, ‘Raja Bomoh’ muncul kembali dan mendakwa sudah ‘memagar’ seluruh dunia daripada virus COVID-19.
‘Raja Bomoh’ yang tular di media sosial sejak semalam (Khamis) itu turut mendakwa dihubungi bomoh dari seluruh dunia yang meminta bantuannya untuk menghentikan COVID-19.
Bagaimanapun, apa yang mencuit hati warganet ialah bomoh kontroversi ini tidak meninggalkan teropongnya untuk ritual perubatan kali ini .
Malah, tindakannya memagar dunia menggunakan model bumi itu turut menjadi bahan senda warganet.
Namun, tidak semua warganet terhibur dengan aksi Raja Bomoh ini kerana ada juga yang menganggap dia mempersendakan isu serius sedang melanda negara.
Video Raja Bomoh yang dikongsi menerusi laman sosial Facebook Sultan Melaka itu telah ditonton 90 ribu kali sehingga pagi tadi dengan 900 perkongsian.
Menerusi video tersebut, Raja Bomoh turut menyeru orang ramai mematuhi arahan Perdana Menteri supaya duduk diam di rumah demi keselamatan semua.
Dia turut mendoakan agar COVID-19 dapat dipulihkan dalam masa terdekat ini.
Sebelum ini, Ibrahim beberapa kali mengejutkan orang ramai dengan ritual perbomohan yang dilakukan bersama-sama para pengikutnya seperti membawa buluh kecil sebagai teropong, dua biji kelapa dan lima meriam buluh di beberapa lokasi bagi beberapa tujuan termasuk 'melindungi' Malaysia daripada serangan nuklear Korea Utara.
Ibrahim juga pernah berjanji untuk tidak lagi menggunakan gelaran Raja Bomoh selepas didakwa atas pertuduhan atas pertuduhan menghina Islam atau menyebabkan Islam dipandang hina.
Ketika hukuman dijatuhkan terhadapnya tiga tahun lalu, lelaki berusia 69 tahun itu mengaku bahawa semua perbuatan ritual perbomohannya merupakan kesalahan dan menyalahi akidah Islam.
Must-Watch Video