Raja Bomoh Muncul Kembali, Pagar Satu Dunia Daripada COVID-19!
Masih ingat tak lagi kepada ‘Raja Bomoh’ atau nama sebenarnya Ibrahim Mat Zin yang pernah mencetuskan fenomena menerusi 'buah kelapa dan teropong ajaibnya' beberapa tahun lalu?
Sepi seketika selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, ‘Raja Bomoh’ muncul kembali dan mendakwa sudah ‘memagar’ seluruh dunia daripada virus COVID-19.
‘Raja Bomoh’ yang tular di media sosial sejak semalam (Khamis) itu turut mendakwa dihubungi bomoh dari seluruh dunia yang meminta bantuannya untuk menghentikan COVID-19.
Namun, tidak semua warganet terhibur dengan aksi Raja Bomoh ini kerana ada juga yang menganggap dia mempersendakan isu serius sedang melanda negara.
Video Raja Bomoh yang dikongsi menerusi laman sosial Facebook Sultan Melaka itu telah ditonton 90 ribu kali sehingga pagi tadi dengan 900 perkongsian.
Ibrahim juga pernah berjanji untuk tidak lagi menggunakan gelaran Raja Bomoh selepas didakwa atas pertuduhan atas pertuduhan menghina Islam atau menyebabkan Islam dipandang hina.
Ketika hukuman dijatuhkan terhadapnya tiga tahun lalu, lelaki berusia 69 tahun itu mengaku bahawa semua perbuatan ritual perbomohannya merupakan kesalahan dan menyalahi akidah Islam.