Sofistikated dan lembut, begitu SUAV yang dianggotai tiga anak muda iaitu Adam Imanullah Izzuddin (vokal, gitar, rap), Muhammad Akif Taqiuzaman bin Norzam, (vokal, gitar dan piano) serta Mohamad Ariff Mohamad Salleh Aludin (bass) mendefinisikan kugiran mereka.

Membawa falsafah muzik bercampur Pop, Hip-hop, Elektronik dan Rock, SUAV muncul dengan single perdana yang diberi judul Raja Di Sini.

“Selepas melalui proses rakaman lagu Raja Di Sini, SUAV sangat berpuas hati dengan apa yang telah dihasilkan. Kami ingin mengucapkan terima kasih di atas bimbingan Aidit Alfian dan juga pengarah muzik video, Nabil Imran dari Mahakarya studios.

“Kami berharap pendengar-pendengar dapat menghayati ‘pengalaman’ sebenar dalam lagu ini melalui muzik videonya selain berharap lagu ini menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup anda.

“Syukur Alhamdulillah, kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia kerana menjadi penaja MV kami dan kepada Cendana kerana menjayakan penerbitan rakaman lagu kami,” ujar Akif pula.

Sementara itu, selaku penerbit Aidit Alfian mengaku tidak sukar menjalin kerjasama dengan SUAV yang disifatkan sebagai memiliki banyak potensi.

Tiga anak muda dengan masing masing berusia 24 tahun ini bukan sahaja berbakat dalam bidang instrumen, tetapi mampu menulis lagu dan menjadi komposer yang baik.

“Selain memberi kerjasama, mereka juga sangat mudah diajar. Potensi ataupun bakat SUAV selain dari bermain gitar dan menyanyi, sebenarnnya adalah dalam penulisan lagu dan lirik.

“Kekuatan mereka apabila mereka kerja bersama, bermaksud mereka bagus bersama dengan tanpa seorang ‘bintang’ dalam satu kumpulan.

“Sebagai komposer dan penulis lagu, saya sangat menggalakkan mereka untuk terus berkarya dan menulis lagu, kerana sememangnya mereka mempunyai bakat yang semulajadi dan kesungguhan untuk terus maju,” ujar Aidit Alfian.

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!