Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim telah membuka akaun Instagram rasmi baginda sejak tiga hari lalu.

Menerusi laman sosial Intsgram @tuankuzarasalim, baginda merakamkan penghargaan kepada pasukan keselamatan negara dalam menangani penularan wabak Covid-19.

"Terima kasih kepada wira dan wirawati kita di Hospital Raja Permaisuri Bainun dan hospital di seluruh negara yang berjuang tak kira penat, tak kira bahaya, tak kira kepentingan diri," tulis baginda sebagai kapsyen

Tambah istimewa apabila baginda turut memuatnaik tiga foto anakanda, Raja Azlan Muzzaffar Shah dan Raja Nazira Safya bersama Sultan Nazrin Muizzuddin untuk tatapan umum.

Menerusi foto tersebut, Raja Azlan Muzzaffar Shah dan Raja Nazira Safya masing-masing memegang kertas putih tertera ucapan terima kasih kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Terima kasih abang dan kakak, askar dan polis," demikian penghargaan dizahirkan Raja Azlan Muzzaffar.

Sementara Raja Nazira Safya memegang kertas dengan lukisan berbentuk hati tertera ucapan terima kasih dan ditulis dalam pelbagai bahasa.

Foto di Instagram itu turut disertakan dengan tanda pagar #askar #pdrm dan #dudukrumah.

Sehingga kini, Instagram baginda telah meraih hampir 6,000 pengikut.