HIBURAN

Rakam Asing-Asing, Adira & Black Pertama Kali Berduet Dalam Lagu 'Memilih Kamu'

Gempak 23/08/2025 | 12:18 MYT
Dua penyanyi tersohor tanah air, Black Hanifah dan Adira Suhaimi, bergabung dalam sebuah lagu duet balada berjudul Memilih Kamu, hasil ciptaan komposer, Mas Dewangga dan Jova Devito, dua nama yang sering diangkat dalam majlis penganugerahan Anugerah Juara Lagu (AJL).

Berkongsi mengenai interpretasinya dalam lagu Memilih Kamu ini, Black menggambarkannya sebagai lagu yang mengangkat kisah persahabatan antara lelaki dan wanita, yang mana tersembunyi rasa cinta.

“Lagu Memilih Kamu mengisahkan tentang sepasang sahabat seorang lelaki dan seorang wanita. Dalam hubungan persahabatan itu, si lelaki sebenarnya menyimpan perasaan terhadap wanita tersebut. Namun begitu, wanita itu pada waktu yang sama sudah mempunyai teman lelaki atau pasangan lain.

“Lelaki itu pula memilih untuk tidak meluahkan perasaannya. Dia hanya memerhati dari jauh, memilih untuk menyokong dan mendoakan kebahagiaan wanita itu. Tetapi dalam diam, dia turut berasa sedih apabila melihat hubungan wanita tersebut dengan pasangannya mulai retak dan bermasalah.

“Menariknya, di penghujung cerita, akhirnya mereka disatukan juga. Lelaki itu akhirnya dapat bersama dengan wanita yang selama ini disayangi dalam diam. Alhamdulillah,” kata Black.

Bagi Adira pula, Memilih Kamu umpama satu lembaran cerita mengenai cinta yang tidak kesampaian.

“Lagu ini berkisar tentang cinta, cinta kepada seseorang yang tidak kesampaian. Namun begitu, individu itu tetap mahu menyampaikan perasaannya, bahawa walaupun mereka tidak bersama, dia akan sentiasa ada dan menyayangi dari jauh. Begitulah maksud yang ingin disampaikan,” katanya.

Dirakamkan secara berasingan, proses rakaman karya yang disifatkan Adira sebagai karya berbeza berbanding karya-karyanya terdahulu ini, berjalan dengan lancar dan jiwa yang ingin disampaikan juga tetap menjadi.

“Kalau nak kata susah, sebenarnya tidaklah terlalu sukar. Ini kerana, melalui liriknya sahaja kita sudah boleh merasai emosi lagu tersebut.

“Tambahan pula, sebelum sesi rakaman dijalankan, kami sudah menerima demo lagu tersebut terlebih dahulu. Jadi, walaupun saya dan Black tidak merakam secara bersama di studio, tetapi feel lagu itu tetap sampai. Alhamdulillah,” kata Adira.

Black pula menggambarkan proses rakaman yang berjalan kurang satu jam, berlangsung dengan profesional dan lancar, sekaligus Memilih Kamu berjaya menerbitkan warna baharu dalam karya nyanyiannya.

“Ini merupakan pengalaman pertama saya bekerjasama dengan Mas Dewangga. Mereka ini lebih muda daripada saya, tetapi cara kerja mereka sangat profesional. Proses rakaman pun tidak mengambil masa yang lama, lebih kurang 45 minit sahaja sudah siap dirakam sepenuhnya.

“Apabila mendengar hasil akhir lagu ini, saya rasa ia memberikan satu bunyi dan warna baharu yang berbeza daripada lagu-lagu saya sebelum ini. Ia memberikan nafas segar dan kelainan yang saya sendiri tidak sangka,” katanya.

Memilih Bukit Fraser sebagai lokasi penggambaran video muzik, Black berkata, panorama indah lokasi itu meninggalkan kenangan berharga buatnya.

“Penggambaran muzik video untuk lagu ini agak mencabar dan unik. Saya perlu bangun seawal jam 4.30 pagi untuk bertolak ke Bukit Fraser. Kami tiba di lokasi sekitar jam 7 pagi, dalam keadaan masih gelap. Antara yang terawal tiba, kami perlu menunggu sehingga sekitar jam 9 pagi barulah penggambaran dapat dimulakan.

“Lokasi penggambaran memang cantik, di kelilingi pokok-pokok besar dan suasana yang nyaman. Namun begitu, pengalaman itu memang berbeza dan akan dikenang,” katanya.

Bagi komposer, Mas Dewangga pula, karya ini sememangnya dicipta khusus untuk kedua-dua penyanyi ini.

“Lagu ini memang dicipta khas untuk Black dan Adira kerana ia merupakan lagu tema (OST) untuk sebuah drama. Saya telah diberikan sinopsis drama terlebih dahulu, jadi saya tahu siapa penyanyinya sejak awal dan proses penciptaan memang dirangka bersesuaian dengan mereka berdua.

“Sejak awal lagi, lagu ini memang dirancang untuk menjadi sebuah lagu duet. Memandangkan lagu ini dicipta berdasarkan sinopsis drama yang melibatkan dua watak utama, jadi format duet dirasakan paling sesuai untuk menyampaikan emosi dan cerita yang ingin diketengahkan,” katanya.

Lagu Memilih Kamu terbitan Nova Music Malaysia sudah boleh distrim di semua pelantar penstriman muzik sekaligus siaran perdana video muzik rasmi lagu tersebut boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos.


#Adira #Black #Lagu #Duet #Memilih Kamu