VIRAL

Rakam Video ‘Bergurau’ Ketika Nyanyi Lagu Negaraku, Pempengaruh Mohon Maaf - “Saya Insaf Dan Berjanji…”

Umirah Halim 12/08/2025 | 08:39 MYT

Pempengaruh media sosial, Haoren Choo memohon maaf secara terbuka selepas tindakannya merakam video menggunakan telefon bimbit ketika lagu Negaraku dimainkan tular di media sosial.

Menerusi satu hantaran di laman sosial, Haoren mengakui perbuatan itu tidak wajar dan telah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat.
“Pada 8 Ogos lalu, ketika menghadiri 8TV Cuckoo Starfluencer Awards 2025, saya mengeluarkan telefon untuk merakam video sewaktu lagu Negaraku dimainkan.

“Tindakan itu tidak sesuai dengan masa dan etika majlis. Sepatutnya saya menyanyikan lagu Negaraku dengan penuh hormat. Perbuatan tidak matang itu telah menimbulkan ketidakselesaan kepada orang ramai dan saya memohon maaf dengan sepenuh hati,” katanya.

Haoren turut berkata, dia memahami bahawa lagu Negaraku bukan sekadar simbol negara, malah membawa makna sejarah yang mendalam serta identiti emosi bersama seluruh rakyat Malaysia.

“Saya telah insaf dan berjanji akan lebih berhati-hati pada acara rasmi atau majlis awam pada masa akan datang.

“Terima kasih kepada semua yang menegur dan memberi peluang untuk saya memperbetulkan kesilapan ini,” ujarnya.

Difahamkan, rakaman itu diambil ketika Hao Ren menghadiri Festival Cuckoo bersama rakan-rakannya pada 8 Ogos lalu.

Video berkenaan memaparkan dia memegang telefon sambil bergurau ketika lagu kebangsaan dimainkan, sekaligus mencetuskan pelbagai reaksi netizen.

#Mohon Maaf #Negaraku #Bergurau