HIBURAN
Rakaman CCTV Baim Wong Didakwa Kasari Paula Verhoven Ditayang Di Mahkamah
Kisah perceraian bintang Indonesia Baim Wong dan isteri, Paula Verhoven kini berlanjut di mahkamah.
Sewaktu kes dibicarakan baru-baru ini, Paula telah membawa seorang saksi yang merupakan ahli forensik digital (IT), Abimanyu. Abimanyu menjelaskan tentang rakaman CCTV yang menjadi salah satu bukti dalam perbicaraan perceraian tersebut.
Baim Kasari Paula?
Menerusi rakaman CCTV yang dikongsikan, Abimanyu menjelaskan terdapat seorang lelaki dan perempuan (Baim dan Paula) dalam satu ruang sedang bertengkar. Menurut lelaki tersebut selain bertengkar, telah berlaku ‘kekerasan’ selepas salah seorang daripada mereka kelihatan sangat marah.
“Terjadi perbezaan pendapat dan terdengar suara marah-marah oleh pihak lelaki. Kemudian boleh didengar wanita dibentak dan suasana makin tegang. Namun pihak wanita hanya diam.
“Mungkin kerana pihak lelaki tidak tahan dengan respons wanita yang hanya diam dan tenang, maka telah terjadi sentuhan tubuh secara keras (Baim mengasari Paula).
“Akibat dikasari, pihak perempuan terjatuh. Kemudian ada juga kekerasan dilakukan pada bahagian kepalanya,” ujar Abimanyu seperti dilaporkan Detik.com.
Abimanyu bagaimanapun mengatakan tidak dapat mengesahkan kejadian tersebut sebagai kes keganasan rumah tangga kerana dirinya tidak ahli dalam hal tersebut.
Baim Nafi
Sementara itu Baim melalui peguam menafikan dakwaan telah mengasari wanita yang telah melahirkan dua anaknya.
Pihaknya juga mendakwa ada bahagian rakaman CCTV yang tidak ditunjukkan secara penuh.
Khabar perceraian Baim Wong terhadap Paula Verhoeven pertama kali disahkan pada 8 Oktober 2024, setelah hampir enam tahun menikah.