Sebuah video dokumentari terbitan Astro Malaysia VS Covid-19 #kitajagakita telah menarik perhatian keluarga YouTuber Malaysia yang menetap di Amerika Syarikat (AS), Kumaar Family.

Menerusi laman YouTube, Kumaar dan isterinya yang merupakan warganegara AS, Rachel berkongsi reaksi mereka semasa menonton video tersebut.

“Kami baru sahaja dapat tahu bahawa Astro akan menyiarkan dokumentari tentang perjuangan Malaysia menentang COVID-19.

“Memandangkan kami telah mengikut kisah kejayaan Malaysia dari awal, maka Astro telah menghantar beberapa sorotan utama daripada dokumentari tersebut kepada kami,” ujar Kumaar.


Menerusi video reaksi berdurasi 15 minit itu, kelihatan pasangan ini begitu kagum, bangga dan memuji negara Malaysia dalam memerangi pandemik ini.

Pasangan ini dilihat begitu terkesan terhadap tujuh sedutan momen rakyat Malaysia bersatu hati memerangi COVID-19.

Pasangan ini turut memuji tindakan seorang pengguna Twitter bernama Hana yang memulakan #kitajagakita dan kutipan dana bagi mereka yang mahu menghulurkan bantuan semasa Perintah Kawalan Pergerakan diadakan.

Malah, seorang guru lelaki yang mengajar di kawasan pedalaman Sarawak turut diangkat sebagai hero kerana telah mengedarkan buku teks, kerja rumah dan nota-nota kepada 111 pelajar sekolah di 13 kampung yang tidak dapat mengikuti kelas secara dalam talian.

“Saya tertarik dengan usaha mereka untuk memberikan peluang kepada kanak-kanak ini meneruskan pembelajaran, sangat luar biasa dan berdedikasi,” ulas Rachel.

Mereka turut mengambil kesempatan ini untuk memberikan ucapan penghargaan dan tanda sokongan kepada petugas barisan hadapan yang berkorban nyawa, tenaga dan masa bersama keluarga untuk membantu mereka yang dijangkiti virus ini.

Rachel kelihatan mengalirkan air mata setibanya di penghujung video dan ditenangkan oleh suaminya.



Dokumentari ini merakam kisah rakyat Malaysia yang berbilang kaum berganding bahu menentang virus jahat ini.

Tonton dokumentari Malaysia VS COVID-19 #kitajagakita pada 12 September ini, jam 6 petang di saluran Astro Ria, AEC, Vinmeen HD, Hello dan Astro Awani