Gara-gara mahu pulang menyambut Aidilfitri di kampung, beribu-ribu penunggang motosikal bertindak nekad merempuh sekatan jalan raya di sempadan Bekasi-Kerawang, Jawa Barat.

Menerusi laman sosial Twitter, tular sebuah video menunjukkan aksi penunggang-penunggang motosikal ini bergerak mahu pulang ke kampung masing-masing.

Bukan itu sahaja, penunggang-penunggang motosikal itu juga tidak menghiraukan arahan pihak berkuasa supaya mereka berpatah balik, malah ada yang bertindak melawan arus.

Susulan kedegilan mereka untuk terus bergerak dan tidak mahu berpatah balik, pihak berkuasa akhirnya terpaksa membuka sekatan jalan buat seketika bagi mengelakkan daripada berlakunya kejadian yang tidak diingini.

Selepas sekatan dibuka, ia membolehkan penunggang-penunggang motosikal tersebut untuk melintasi kawasan sempadan dan menuju ke destinasi masing-masing.

Memetik portal Warta Kota, jumlah motosikal yang banyak itu turut mengakibatkan kesesakan lalu lintas sepanjang lima kilometer.

Menurut Ketua Pesuruhjaya Polis Bekasi, Hendra Gunawan, pihaknya telah berusaha untuk menghalang orang ramai daripada melintasi kawasan sempadan.

“Bagaimanapun, untuk mengelakkan kesesakan yang teruk, kami terpaksa membuka penghadang sekatan.

“Kami akan menambah bilangan anggota dan berharap agar kejadian ini tidak berulang,” ujarnya.

Sekadar info, pemerintah Indonesia melarang aktiviti pulang ke kampung (mudik lebaran) sempena Aidilfitri selama 12 hari bermula 6 hingga 17 Mei ini bagi mencegah penularan wabak COVID-19.