BERITA
Rakyat Malaysia Alami Masalah Kesuburan
Kadar Kesuburan Jumlah (TFR) di Malaysia dilaporkan menunjukkan penurunan sejak tahun 2013, seperti yang dimaklumkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Bagaimanapun TFR Malaysia buat kali pertama dalam tempoh itu telah menunjukkan peningkatan 0.1 kepada 1.7 pada tahun 2023 berbanding TFR 1.6 pada tahun sebelumnya.
Secara keseluruhan, menurut data 2024 ESCAP Population Data Insight menunjukkan kebanyakan negara di Asia Pasifik mencatatkan TFR di bawah 2.1, iaitu paras penggantian populasi.
Penurunan kadar kelahiran ini memberi kesan besar kepada negara, termasuk masalah populasi menua dan kekurangan tenaga kerja dalam jangka panjang. Jika tidak ditangani segera, ia boleh menjejaskan pembangunan ekonomi dan sosial negara.
Tidak dinafikan salah satu punca utama penurunan kadar kelahiran ialah peningkatan kos sara hidup pada masa kini. Justeru tidak hairanlah apabila semakin ramai pasangan muda yang memilih untuk tidak mempunyai anak ramai kerana bimbang dengan masalah kewangan.
Perkara ini turut menyumbang kepada berlakunya pasangan muda yang memilih untuk tidak mempunyai anak langsung atau sehingga benar-benar telah bersedia. Ketika sudah bersedia, mungkin sudah terlambat untuk mempunyai ramai anak.
Selain itu golongan wanita lebih cenderung melanjutkan pelajaran dan mengutamakan kerjaya daripada bergelar seorang ibu.
Akibatnya ia menyebabkan ramai wanita berkahwin pada usia lebih lewat. Ini menyebabkan risiko masalah kesuburan kerana kesuburan wanita lazimnya akan menurun mengikut pertambahan usia.
Untuk mengatasi masalah ini, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memberikan lebih banyak insentif kepada keluarga muda seperti subsidi penjagaan anak, potongan cukai istimewa dan sokongan kepada ibu bapa bekerja.
Kempen kesedaran mengenai kesuburan dan gaya hidup sihat juga perlu diperluaskan, seperti yang telah dijalankan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara melalui Program Galakan Perkahwinan dan perkhidmatan berkaitan kesuburan.
Masyarakat juga perlu lebih terbuka dalam mendapatkan nasihat mengenai kesuburan. Ia bukanlah sesuatu yang memalukan, tetapi langkah penting bagi memastikan kesejahteraan keluarga dan masa depan negara. Ingatlah, setiap daripada anak itu, ada rezekinya.
Sumber: Sinar Harian