Berita mengenai keadaan kesihatan jaguh badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei yang dilaporkan mengidap kanser hidung baru-baru ini mengejut ramai peminat sukan itu yang turut menyatakan rasa simpati.

Status kesihatan pemain itu yang mengidap penyakit di peringkat awal disahkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum ini. Bekas pemain nombor satu dunia itu dilaporkan sedang menjalani rawatan di Taiwan.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri juga menyatakan perasaan terkejut terhadap wira negara itu.

Ujarnya, kejayaan pemain itu di peringkat kejohanan badminton dunia seperti Sukan Komanwel 2006, Terbuka All England 2010, 2011, 2014 dan 2017 manakala Pemain Terbaik Persekutuan Badminton Dunia 2009, 2010, 2011, 2013 dan 2016 suatu yang membanggakan negara.

"Saya berdoa kepada Allah SWT agar diberi kesembuhan kepada beliau supaya dapat terus menyumbang dalam dunia sukan badminton Malaysia bagi melahirkan pelapis yang berkualiti," katanya menerusi Instagramnya, @drzulkifli.albakri hari ini.

Keprihatinan Dr Zulkifli untuk mendoakan pemain negara itu menarik perhatian netizen di media sosial yang turut melontarkan pertanyaan sama ada bolehkah umat Islam mendoakan orang bukan Islam yang ditimpa penyakit?

Beliau menerusi admin akaun media sosial itu menjelaskan mendoakan untuk hidayah dan hal keduniaan tiada ada masalah.

"Sahabat Nabi juga meruqyah ketua kabilah bukan Islam dan Nabi tak melarang," katanya.

Status itu juga mengundang ramai netizen untuk sama-sama mendoakan kesihatan pemain tersebut agar terus diberi kekuatan dan cepat sembuh.

"Moga diberi kesembuhan kpd semua hambaNya yg sedang sakit dan dikurnia kesihatan yg baik," kata @saaidahidah.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: ​IG @drzulkifli.albakri