Kerajaan tidak membenarkan pengembara dari Malaysia untuk melawat Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe bermula esok susulan penemuan varian baharu COVID-19 iaitu B.1.1.529.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, selain itu, sekatan sementara kepada semua warga asing yang mempunyai sejarah perjalanan dalam tempoh 14 hari ke semua negara terbabit turut dilaksanakan.

“Bagi warga tempatan dan pemegang pas penduduk tetap yang pulang ke Malaysia dari negara-negara tersebut dibenarkan memasuki negara namun dikehendaki menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin tanpa mengira status vaksinasi serta tidak dibenarkan menjalani kuarantin di rumah.

Berdasarkan survelan genomik yang dijalankan sehingga hari ini, tiada virus Covid-19 varian baharu B.1.1.529 yang dilaporkan di Malaysia, manakala semua sampel akan diambil dari individu yang tiba dari negara-negara tersebut untuk survelan genomic,” katanya pada sidang akhbar.

Hadir sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Khairy Jamaluddin berkata, setakat ini tiga buah negara telah melaporkan kes berkaitan varian baharu ini iaitu Afrika Selatan (77), Botswana (4) dan Hong Kong (2).

Katanya, kes pertama dilaporkan di Botswana pada 11 November lalu, manakala Afrika Selatan pada 14 November lalu dan Hong Kong pada 25 November dengan kes yang dilaporkan di Hong Kong mempunyai sejarah melawat Afrika Selatan.

“Menurut laporan, varian baharu ini mempunyai 32 mutasi spike protein iaitu dua kali ganda lebih banyak daripada varian delta. Sehingga kini belum ada maklumat lanjut bagi tempoh inkubasi, gejala dan kebolehjangkitan bagi varian B.1.1.529 ini.

“Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) masih lagi membuat pemantauan yang rapi mengenai perkembangan yang berkaitan pelaporan varian baharu B.1.1.529. Buat masa ini varian baharu ini dikategorikan oleh WHO sebagai Varian Dalam Perhatian (VUM),” katanya.


Sumber: Kosmo