Kes penceraian dalam kalangan rakyat Malaysia dikesan meningkat sebanyak 12 peratus.

Perkara itu didedahan oleh Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menerusi satu laporan Statistik Perkahwinan dan Perceraian Malaysia 2020.

Menurut Mohd Uzir, jumlah perceraian meningkat kepada 56,975 pada 2019, berbanding 50,862 pada tahun sebelumnya.

“Kadar perceraian umum bagi lelaki meningkat dari 6.5 kepada 7.2 per seribu populasi lelaki berkahwin berumur 18 tahun dan keatas.

“Kecenderungan serupa juga dilaporkan untuk wanita yang mencatatkan peningkatan dari 7.0 kepada 7.7 per seribu populasi wanita berkahwin,” katanya.

Menurutnya, bilangan rakyat Malaysia yang berkahwin tahun lalu juga menurun sebanyak 1.2 peratus kepada 203,821 orang, berbanding 206,352 orang pada tahun sebelumnya.

"Senario semasa menunjukkan kecenderungan perkahwinan lewat berlaku dalam kalangan mereka yang berpendidikan dan berusaha untuk memperkukuhkan kestabilan ekonomi masing-masing, terutama yang tinggal di kawasan bandar.

“Keadaan itu sejajar dengan peningkatan kadar urbanisasi di Malaysia dari 70.9 peratus pada tahun 2010 kepada 76.2 peratus pada tahun 2019,” katanya.

Mohd Uzir berkata, statistik juga menunjukkan pengantin lelaki dan wanita yang paling tua direkodkan oleh jabatan itu tahun lalu adalah berusia 93 dan 86 tahun.

"Sebanyak 0.3 peratus pengantin lelaki berusia 65 tahun ke atas berkahwin dengan pengantin wanita yang lebih muda iaitu berusia sekitar umur 24 tahun dan ke bawah.

"Manakala 0.2 peratus pengantin wanita berusia 65 tahun ke atas telah berkahwin dengan pengantin lelaki lebih muda yang berumur 24 tahun ke bawah," katanya.

Sumber : Bernama
Gambar : Astro Awani