Sekeping gambar yang mendakwa ahli keluarga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merentas daerah dan berkumpul bagi meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri ternyata membangkitkan kemarahan ramai.

Rata-rata mereka kecewa apabila ada yang masih tidak mempedulikan SOP biarpun perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah bermula.

Malah, ada yang lepas geram kerana ramai rakyat ketika ini terpaksa berkorban beraya tanpa keluarga atau kehadiran ibu bapa tersayang.

Susulan daripada polis akan hari ini telah mengeluarkan satu kenyataan untuk memanggil Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Mohamed Azmin Al.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata, turut akan dipanggil termasuklah ahli keluarga Mohamed Azmin, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di kediaman beliau dan pemilik akaun Facebook Ummi Hafilda Ali.

Menurutnya, polis terima laporan mengenai isu tersebut pada jam 3 petang.

“Ia berhubung dakwaan ahli keluarga Mohamed Azmin merentas daerah dan berkumpul bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri yang mana kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah Peraturan 17 P.U (A) 225/2021.

“Kejadian tersebut didakwa berlaku pada 13 Mei 2021 (Khamis) lebih kurang jam 8 pagi di kediaman rasmi Mohamed Azmin di Presint 10, Putrajaya.

“Maklumat awal mendapati sambutan dan jamuan raya tersebut hanya dalam kalangan ahli keluarga Mohamed Azmin yang mendiami kediaman tersebut,” katanya.

Tambahnya, berdasarkan keterangan petugas yang menjaga pos kawalan kediaman rasmi tersebut juga mengesahkan pada tarikh 13 Mei 2021 (Khamis), tiada pergerakan keluar masuk tetamu seperti didakwa dalam hantaran Facebook yang tular di media sosial.

“Datuk Seri Mohamed Azmin serta ahli keluarga, anggota Pasukan Gerakan Am yang bertugas di kediaman beliau dan pemilik akaun Facebook Ummi Hafilda Ali serta saksi-saksi lain akan dipanggil untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan,” katanya menerusi kenyataan tersebut.