Selepas bersiaran selama dua minggu, Ramadan Pertama Edi sudah menjadi pilihan drama yang wajib ditonton di kaca televisyen.

Rata-rata peminat memberi respons yang positif dengan jalan cerita drama ini kerana mengimbau kenangan ketika zaman kanak-kanak dahulu.

Malah, lakonan Redza Rosli yang memegang watak Edi menjadi tumpuan disebabkan telatah kelakarnya yang mengelat untuk berpuasa.

"Mengimbau kenangan waktu kanak-kanak betul.

"Edi ni kan, penat la gelak.

"Edi punya ujian puasa ni lain macam betul. Aku sekali terliur hahaha.

"Berat dugaan si Edi masa puasa ni. Dalam sinki ada air bandung, tin cat macam teh ais, swimming pool dah macam air tembikai," antara komen yang ditulis.

Apa agaknya yang terjadi malam ini selepas Edi kantoi minum air kolam renang dengan Naemah?

Ramadan Pertama Edi merupakan sebuah naskah terbitan Gempak Original Series yang diarahkan oleh sutradara Datuk Yusry Abdul Halim dan Ezrie Gazali.

Mengisahkan tentang Edi dan Nad (Mimi Lana). Selepas 2 bulan berkenalan dan bercinta, Edi dan Nad terus berkahwin.

Bercinta ketika musim PKPB, membuatkan mereka jarang berjumpa serta tidak sempat kenali isi hati budi masing-masing secara mendalam.

Namun setelah tinggal bersama, Edi dan Nad mula sedar perangai pasangan masing-masing. Edi sejenis yang sukar hendak serius dan berterus terang manakala Nad pula jenis yang cerewet dan perfectionist.

Nad kini sedang hamil enam bulan dan bakal pulang ke rumah bapanya, Pak Sobri beberapa hari sebelum Ramadan. Disebabkan PKP, Nad dan Edi terpaksa berpuasa di rumah Pak Sobri selama dua minggu.

Masalah timbul di situ kerana Edi sebenarnya cukup susah untuk berpuasa. Pelbagai masalah dan konflik yang berlaku namun apa pengakhirannya?

Ramadan Pertama Edi turut dibintangi barisan pelakon hebat antaranya Mimi Lana, Datuk Aznil Nawawi, Elly Mazlein, Datin Lisa Surihani dan ramai lagi.

Berdurasi selama 30 minit, Ramadan Pertama Edi bersiaran pada setiap hari Rabu, jam 9.30 malam secara eksklusif di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124).

Jika anda terlepas untuk menonton episod terdahulu, anda juga boleh strim di Astro Go dan On Demand dan buat carian Ramadan Pertama Edi.