Ramadan Pertama Edi yang ditayangkan malam tadi terus mendapat tempat di hati penonton.

Nampak gayanya, dah mula satu persatu rahsia terbongkar di rumah Pak Sobri.

Mana tidaknya, Naemah dalam diam menjalankan bisnes menjual beg tangan terpakai dengan menggunakan nama Leha Vaganza.

Edi macam selalu, sentiasa buat masalah.. Boleh pula kantoi tak puasa dengan Pak Sobri.

Tapi dalam episod kelima ini Pak Sobri paling win. Pak Sobri nak letak nama Pogba untuk baby boy Nad dan Edi.

Untuk yang tidak mengetahui, Pogba merupakan nama pemain bola sepak di kelab Manchester United (MU).

Agaknya, apa lagi yang akan terjadi pada episod minggu hadapan?

Ramadan Pertama Edi merupakan sebuah naskah terbitan Gempak Original Series yang diarahkan oleh sutradara Datuk Yusry Abdul Halim dan Ezrie Gazali.

Mengisahkan tentang Edi dan Nad. Selepas 2 bulan berkenalan dan bercinta, Edi dan Nad terus berkahwin.

Bercinta ketika musim PKPB, membuatkan mereka jarang berjumpa serta tidak sempat kenali isi hati budi masing-masing secara mendalam.

Namun setelah tinggal bersama, Edi dan Nad mula sedar perangai pasangan masing-masing. Edi sejenis yang sukar hendak serius dan berterus terang manakala Nad pula jenis yang cerewet dan perfectionist.

Nad kini sedang hamil enam bulan dan bakal pulang ke rumah bapanya, Pak Sobri beberapa hari sebelum Ramadan. Disebabkan PKP, Nad dan Edi terpaksa berpuasa di rumah Pak Sobri selama dua minggu.

Masalah timbul di situ kerana Edi sebenarnya cukup susah untuk berpuasa. Pelbagai masalah dan konflik yang berlaku namun apa pengakhirannya?

Ramadan Pertama Edi dibintangi barisan pelakon hebat antaranya Redza Rosli, Mimi Lana, Datuk Aznil Nawawi, Elly Mazlein, Abon, Datin Lisa Surihani dan ramai lagi.

Berdurasi selama 30 minit, Ramadan Pertama Edi bersiaran pada setiap hari Rabu, jam 9.30 malam secara eksklusif di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124).

Jika anda terlepas untuk menonton episod terdahulu, anda juga boleh strim di Astro Go dan On Demand dan buat carian Ramadan Pertama Edi.