"Ramai Artis Yang Derma Diam-Diam Tapi Korang Tak Tau" - Sharifah Sakinah Terkilan Ada 'Civil War' Sesama Artis

Badrul Hashim
Mac 31, 2020 01:00 MYT
Hanya kerana dana pemberian kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia, sudah ada perselisihan faham di antara golongan artis itu sendiri.
Ada artis yang turut mahukan bantuan, ada yang kata tidak perlu, dan ada pula pihak yang menuduh artis berduit tetapi kedekut untuk menghulurkan bantuan.
Pertelegahan yang kalah jadi abu, menang jadi arang. Tidak menguntungkan sesiapa. Itulah yang hendak disampaikan oleh Sharifah Sakinah pada satu entri di Instagramnya.
"Alhamdulilah, kami tak perlukan bantuan. Itu pentingnya SAVING. Kami takda bag mahal ,kami enjoy je. Percaya kepada rezeki memberi.
"Ramai artis yang dah derma diam-diam tapi korang tatau. Ramai yang mengambil kesempatan dengan content 'spill the tea' artis, ramai yang sedang tunjuk hero (tapi itu boleh membatu apikan keadaan lagi)," tulis Sakinah.
Tambah Sakinah, ketika ini seolah-olah berlaku 'civil war' antara mereka yang bertekak siapa yang patut dapat apa, siapa yang lebih sengsara dan sebagainya.
"Tak kiralah sama ada kita B40, T20, PN, atau PH, bangsa Melayu, Cina, Johor, Kadazan atau negara besar macam US atau China.
"Kita semua hamba Allah di muka bumi. Kita kena jaga satu sama lain. Kita sentiasa saling memerlukan. Semoga Allah mengampunkan kita semua," tulis Sakinah.
Tambah Sakinah lagi, ini baru dugaan sekecil zarah tetapi kesannya pada seluruh muka bumi tidak kira siapa dan taraf mereka.
"Kita ketepikan perbezaan antara kita dan fokus kepada cara untuk membantu. Setiap daripada kita ada fungsi tersendiri dalam satu keluarga besar yang dinamakan kemanusiaan.
"Sakinah sedih tau. Patutnya kena kerjasama, ni bergaduh-gaduh," tambahnya lagi.
Ramai yang bersetuju dengan apa yang ditulis oleh Sharifah Sakinah. Kita semua sepatutnya bersatu ketika menghadapi bencana yang melanda, bukannya sibuk mencari salah antara satu sama lain.
#Sharifah Sakinah #Artis #Gaduh