Biarpun ramai yang sedang menantikan giliran suntikan vaksin Covid-19, namun masih tetap yang mengambil sikap acuh tak acuh.

Buktinya di Perak saja dianggarkan 9,000 penduduk dengan sebahagian besar berusia 60 tahun ke atas gagal hadir menerima suntikan vaksin pada tarikh ditetapkan.

Menurut Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming, jumlah itu membabitkan individu yang dijadualkan menerima dos pertama bagi pemberian vaksin fasa kedua.

"Sehingga kini, sebanyak 9,009 individu dikesan tidak hadir," katanya, semalam.

Situasi itu tidak hanya berlaku di Perak kerana di Kedah pula seramai 10,827 daripada 30,100 individu yang diberi janji temu melalui aplikasi MySejahtera dikesan tidak hadir antara 19 April hingga Sabtu lalu.

Difahamkan, jumlah berkenaan membabitkan individu yang sepatutnya menerima suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam dan PPV Klinik Kesihatan seluruh negeri.

Menurut Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang, antara punca mereka tidak hadir ialah bertukar fikiran kerana belum bersedia untuk menerima suntikan vaksin berkenaan.

"Ada juga memaklumkan mereka tidak sihat dan sedang menjalani kuarantin serta berada di luar kawasan.

"Selain itu, ada yang memberitahu bahawa mereka tiada kenderaan untuk hadir ke PPV, serta ada yang memohon menukar tarikh pada saat akhir," katanya.

Terdahulu, media melaporkan hampir 10,000 penduduk di Kelantan dengan sebahagian besar berusia 60 tahun ke atas dikesan gagal hadir menerima suntikan vaksin sehingga dua hari lalu.

Antara puncanya ialah masalah kesihatan selain menunda tarikh suntikan.

Apapun, diharapkan orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan teori palsu berkaitan vaksin.

Sumber : Sinar Harian & Berita Harian