"Ramai Cakap Saya Masuk Universiti Pakai 'Duit', Rasuah" - Aliff Syukri 6 Bulan Belajar Nak Lulus Exam Masuk UiTM

ZULHILMI JALIL
Mac 24, 2020 09:00 MYT
Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri meluahkan rasa terkilannya apabila ada pihak beranggapan tawaran kemasukan ke Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam yang diperolehnya adalah disebabkan menggunakan 'pintu belakang'.
Sebaliknya, kata Aliff, 32, apa yang diperolehnya itu sebenarnya, atas usaha dan pengorbanan yang dilakukan sejak dua tahun lalu bagi memastikan dirinya lulus peperiksaan kelayakan.
"Korang sangka tak, saya diterima masuk UiTM? Pertama kali masuk UiTM. Saya sedih sangat sebab ramai orang cakap saya masuk universiti ini sebab pakai duit atau rasuah.
"Sedangkan saya belajar nak dekat dua tahun untuk saya lulus peperiksaan ini. Dengan usaha saya belajar enam bulan nak lulus peperiksaan, akhirnya saya lulus," ceritanya menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram miliknya.
Katanya lagi, dia membuat keputusan untuk mendapatkan segulung ijazah kerana tidak mahu dilabel sebagai individu yang tidak mempunyai pendidikan.
"Alhamdulillah, inilah impian saya untuk mempunyai pelajaran sebabnya bagi saya ia adalah satu bonus kepada saya untuk mempunyai satu pelajaran sebab dulu tidak ada pelajaran, orang akan pandang rendah.
"Saya nak beritahu kepada korang semua, sijil ini saya tidak bayar pun dan saya juga seperti pelajar UiTM yang lain perlu mengikuti kelas dan semuanya," tulisnya.
Sebelum ini, Aliff memaklumkan bahawa dia berjaya mendapat tawaran bagi menyambung pengajian dalam jurusan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan secara separuh masa.
#Aliff Syukri #Usahawan #'UiTM