HIBURAN
Ramai Kata Iras Abam… Hidayah Akui Wajah Kekasih Mirip Arwah Suami - “Hebat Perancangan Allah”
Balu kepada Allahyarham Abam Bocey, Siti Norhidayah Mohd Ali, 33, sekali lagi menarik perhatian selepas memuat naik video bersama kekasihnya, Amsyar Salim di TikTok.
Menerusi hantaran tersebut, pasangan itu dirakam sedang menikmati hidangan bersama di sebuah restoran.
Namun, apa yang lebih mencuri tumpuan ialah komen netizen yang mendakwa wajah Amsyar seakan-akan iras dengan arwah suaminya.
“Aku je ke nampak pengganti arwah ni sama muka arwah versi slim, seakan-akan iras,” tulis seorang pengguna.
Menjawab komen itu, Hidayah turut mengakui perkara tersebut.
“Ye betul, ramai cakap muka iras arwah. Allah ambil arwah tapi Allah beri muka seakan sama macam arwah. Hebat perancangan Allah,” balasnya.
Terdahulu, pada Februari lalu, Hidayah mendedahkan dia dan Amsyar merancang untuk mendirikan rumah tangga sama ada pada tahun hadapan atau pada 2027, memandangkan hubungan mereka kini masih dalam fasa mengenali hati budi.
Untuk rekod, Hidayah mendirikan rumah tangga dengan Allahyarham Abam pada 8 Disember 2017. Bagaimanapun, Abam meninggal dunia pada 10 Februari 2020 ketika berusia 32 tahun di kediamannya di Gombak, Selangor.