HIBURAN

"Ramai Nampak Saya Tersenyum Di Pentas Tapi Hakikatnya ..." - Azharina

Amri Hassan 27/06/2025 | 21:37 MYT
Penyanyi, Azharina Azhar, berkongsi kisah peribadinya mengenai perjalanan pemulihan emosi yang mendalam bersama seorang figura yang kini dikenali sebagai Dr Healing, iaitu Dr Hisham Dzakiria.

Dalam satu temu bual baru-baru ini, Azharina mendedahkan bahawa sesi bersama Dr Hisham telah menjadi titik perubahan besar dalam hidupnya terutamanya selepas melalui pelbagai cabaran hidup yang meninggalkan luka dalaman.

“Saya pernah sampai ke tahap terlalu penat secara mental dan emosi. Ramai nampak saya menyanyi, tersenyum atas pentas, tapi hakikatnya saya sedang simpan terlalu banyak luka lama.


"Bila saya sertai sesi dengan Dr Hisham, saya mula menangis tanpa sedar. Rasa macam saya dilepaskan, saya dibebaskan. Itu pengalaman yang saya tak pernah rasa sebelum ini. Saya pun perlukan healing,” katanya jujur.

Menurut Azharina, meskipun sering tampil kuat di hadapan khalayak, hatinya juga rapuh seperti orang lain. Itulah yang mendorongnya untuk mendapatkan bantuan profesional sesuatu yang kini semakin diterima dalam kalangan masyarakat dan selebriti.

“Saya tak malu nak cakap saya pun perlukan healing. Dan saya sangat bersyukur ditemukan dengan Dr Hisham. Saya doakan lebih ramai orang berpeluang rasa sendiri magis yang beliau bawa,” ujar Azharina yang kini lebih terbuka mengenai kesihatan mental.

Siapa Dr Healing?

Dr Hisham Dzakiria, atau lebih dikenali sebagai Dr Healing, merupakan seorang coach, pendidik dan pakar transformasi diri yang menggunakan pendekatan holistik merangkumi aspek tubuh, minda, emosi dan jiwa. Beliau telah membantu ribuan individu dari pelbagai latar belakang, termasuk selebriti dan tokoh korporat, untuk bangkit semula daripada trauma dan tekanan hidup.



Menurut Azharina, apa yang membezakan Dr Hisham daripada mana-mana penceramah atau jurulatih lain ialah keupayaannya melihat terus ke dalam jiwa seseorang, tanpa menghakimi, dan mencipta ruang yang benar-benar selamat untuk seseorang itu meluahkan serta memulihkan diri.

Dengan pendekatan yang ikhlas dan menyeluruh, nama Dr Hisham kini mula disebut-sebut dalam kalangan artis dan masyarakat umum.

Beliau juga digelar segelintir peminat sebagai ‘Coach Jiwa Negara’, berkat keupayaannya membantu orang ramai menemui semula kekuatan dan makna hidup.

Antara program yang dikendalikan beliau termasuk Healing the Inner Child, Impactful Leadership dan Creating Your Own Wave in Business.

Beliau kini menerajui EcoTwin Step Sdn. Bhd., selain memiliki PhD dalam Pembelajaran Sepanjang Hayat dari UK, serta pengalaman luas dalam latihan dan kepimpinan organisasi.

Menerusi keberanian Azharina berkongsi pengalamannya secara terbuka, lebih ramai mula sedar bahawa kejayaan sebenar bukan hanya pada glamor atau kekayaan tetapi pada ketenangan jiwa dan hubungan dengan diri sendiri.

“Saya kini menyanyi dengan hati yang lebih ringan. Bila hati sembuh, suara kita pun jadi lebih jujur,” kata Azharina.
#Penyanyi #Azharina #Mental #Healing #Dr Hisham