Jenama tudung terkemuka dUck menarik balik penjualan tali leher edisi hari bapa hasil kolaborasi bersama Marvel setelah menerima kecaman wargamaya.

Koleksi tali leher yang diperbuat daripada sutera itu menerima kritikan kerana lelaki Islam diharamkan daripada memakai material tersebut.

Menerusi laman sosial Instagram, @theduckgroup memuat naik satu permohonan maaf di atas kekhilafan mereka kerana terlepas pandang material yang digunakan.

Dearest dUCkies, we apologise for overlooking the choice of material for our MARVEL x dUCk ties and have stopped the sale of all the ties with immediate effect. Paid orders will be refunded too. As for the ties, we will be gifting them to our non-Muslim male frontliners instead, and hope we can make some frontliner daddies happy this Father's Day. We apologise again for this blunder on our part. - D. #duckscarves

A post shared by The dUCk Group (@theduckgroup) on

“Kami ingin memohon maaf kerana terlepas pandang pemilihan material tali leher bagi koleksi Marvel X dUck dan telah menghentikan penjualannya dengan serta merta. Semua tempahan yang sudah dibayar akan dikembalikan,” tulis jenama tersebut sebagak kenyataan rasmi.

Malah, tali leher tersebut akan dihadiahkan kepada para petugas barisan hadapan yang bukan beragama Islam sebagai tanda penghargaan.

“Untuk tali leher pula, kami akan menghadiahkannya kepada frontliners yang bukan beragama Islam supaya bapa-bapa mereka gembira menjelang hari bapa ini. Kami memohon maaf sekali lagi di atas kesilapan dari pihak kami ini,” tulis mereka lagi.



Pihak Gempak cuba menghubungi pengasas bersama dUck Group, Datin Vivy Yusof namun pihak pengurusan enggan mendapatkan ulasannya.

“Pihak jenama dah beri keterangan berkenaan perkara di atas. Saya rasa tak perlu untuk Vivy memberikan kenyataan lagi,” ujarnya menerusi satu kiriman WhatsApp.

Malah, hasil petikan di laman web Pejabat Mutfi Wilayah Persekutuan juga ada menyebut tentang hukum lelaki memakai emas dan sutera sebagai perhiasan.

Hadis daripada Saidina Ali bin Abi Talib RA ada menyebut, “sesungguhnya Nabi SAW mengambil sutera dan memegangnya dengan tangan kanannya, dan emas di tangan kirinya, kemudian bersabda: sesungguhnya dua benda ini haram ke atas umatku yang lelaki”.

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata wargamaya memuji tindakan dUck yang mengakui kesilapan mereka dan menghadiahkan tali leher tersebut kepada frontliners bukan beragama Islam.

“Good job pasukan dUck! Sila ambil pengajaran dan lebih sensitif pada masa akan datang,” ujar seorang wargamaya.

“Tak perlu nak kecam dan sebarkan kebencian pada dUck. Mereka dah lakukan yang terbaik dan harap semua orang boleh move on,” kata seorang wargamaya.

“Tapi majoriti pekerja semua melayu Islam, macam mana boleh terlepas pandang ya?” tanya seorang wargamaya.

“Siapa yang buat pembangunan produk diorang ni? Tak tahu buat kajian dulu ke sebelum teruskan benda ni?” tulis seorang wargamaya lagi.

Selain tali leher, koleksi Marvel X dUCk ini turut hadir dalam lima jenis rekaan tudung.