HIBURAN
Ramai Penyanyi Luah Hasrat Mahu Kolaborasi Bersama, Mimifly Bersifat Terbuka - “Saya Suka Tetapi Buat Masa Sekarang…”
Penyanyi, Mimifly mengakui tahun ini merupakan titik permulaan baharu buatnya selepas tempoh berehat yang cukup panjang.
Kongsi Mimi, dia juga tidak menolak kejayaan lagu Angkat ternyata menjadi pemangkin buatnya untuk terus berkarya dengan lebih serius dan tersusun.
“Sejak saya berehat selama 4 tahun, saya bermula tahun ini dengan merangka strategi kerana saya mahu terus berada dalam haluan saya.
“Saya nak benar dengan diri dan niat saya sendiri, saya harus kuat untuk sentiasa berkarya.
“Saya harap semuanya berjalan lancar, doakan saya, Insya-Allah akan menemui semua nanti,” katanya kepada Gempak.
Ditanya mengenai ramai penyanyi lain yang ingin berkolaborasi dengannya, Mimi berkata fokus utamanya kini adalah untuk menyempurnakan hasil karyanya sendiri sebelum membuka ruang untuk sebarang kerjasama.
“Saya sangat suka berkolaborasi, sebelum saya mula buat muzik, saya sudah berkerjasama dengan ramai artis.
“Saya sukakan itu cuma sekarang ia lebih kepada masa saya, kalau boleh saya mahu selesaikan dahulu apa yang saya rancang.
“Saya mahu sempurnakan hasil saya dahulu sebelum saya boleh berkolaborasi, saya sentiasa terbuka,” ujarnya.
Sebelum ini, ramai penyanyi meluahkan hasrat untuk berkolaborasi bersama Mimifly selepas kejayaan lagu Angkat dan Serumpun.
Must-Watch Video