Terkenal dengan suara lunak, penyanyi Ernie Zakri merupakan antara finalis yang menjadi perhatian netizen di acara Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37).

Dengan membawakan lagu berjudul Korban, bukan hanya persembahan Ernie berjaya memukau netizen malah busana yang diperagakan oleh isteri kepada Syamel ini juga turut menjadi bualan di media sosial.


Rata-ratanya memberikan komen positif dan mengatakan Ernie kelihatan begitu cantik sekali menggayakan busana tersebut.

Antaranya:

“Cantiknya kak Ninie punya baju, sesuai sangat dengan suara sedap tu, terbuai-buai bila dengar,”

“Comelnya Ernie, skirt tu nampak macam lollipop tapi lawanya,”

“Lawa sangat seiring dengan suara, love Ernie. Love you,”

Dalam pada itu, Ernie menerusi hantaran di Instagram menjelaskan maksud tersirat tentang busana yang digayakannya itu.

“WANA, Cahaya syurgaku, kau lah itu. Penampilan ‘comeback’ Ernie di pentas AJL37 kali ini hadir membuai perasaan. Seiring bibit lagunya, maka dizahirkan dalam penghasilan busananya.

“Pusaran rona monokromatik hitam putih juga merah mewakili liku kehidupan, tetap ada manisnya, walau dibaur derita.

“Cinta hadir dalam segenap bentuk dan bersilih ganti, namun tidak akan pernah terhenti.

“Hadir dalam siluet ‘ballgown’, ‘bodice’ atas diolah korset berstruktur cekung, juga dibalas dengan lengan senada.

“Lapisan organza dari tujuh rona diseliratkan dan dijahit satu persatu membentuk pusaran multiwarna. Korban in #AJL37,” tulisnya.

A post shared by @erniezakri

Terdahulu, AJL37 yang berlangsung pada Ahad menyaksikan Aina Abdul dinobatkan sebagai juara dan sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi bersalut emas.

Selain juara, Aina juga diumumkan sebagai pemenang Vokal Terbaik menerusi lagu Terus Hidup ciptaan sepenuhnya dari Aina dan membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000 berserta trofi.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.