Hiburan
"Ramai Suruh Saya Sertai Big Stage, Tapi..." - Muna Shahirah
Penyanyi yang sedang meningkat naik, Muna Shahirah, 25, gembira kerana single keduanya, Teguh Setia semakin mendapat perhatian.
Kata Muna, sambutan untuk lagu terbabit lebih baik berbanding single pertamanya yang berjudul, Takdir Cinta.
"Biarpun lagu Takdir Cinta mendapat lebih dua juta tontonan di YouTube, entah di mana silapnya, ia kurang dikenali dan kurang diputarkan di stesen radio.
"Namun, single kedua saya mendapat respon yang sangat baik dan kini mendapat tempat di hati pendengar. Saya mendapat maklum balas positif selepas lagu itu sering diputarkan di radio.
"Buat masa ini, saya masih meneruskan rangka promosi lagu Teguh Setia kerana ramai yang mula sedar dengan kehadiran lagu itu," kata Muna.
Tambah graduan Sarjana Muda Matematik di Universiti Sains Malaysia ini, peminat sering menganggap dirinya sebagai seorang penyanyi baru.
"Ramai yang tak tahu saya pernah menyertai Akademi Fantasia 2014 (AF 2014). Saya akui, selepas tersingkir dari AF 2014 dahulu, sukar untuk saya mencari tempat dalam bidang seni.
"Saya ada menerima undangan persembahan tetapi ia jarang berlaku. Saya habiskan pelajaran sehingga bergraduasi dan akhirnya, saya dilamar oleh syarikat rakaman FMC.
"Kini, bila saya mula dikenali dengan lagu Teguh Setia, ramai peminat yang ingat saya Budak Baru Nak Up (BBNU) dan menyarankan saya agar menyertai Big Stage.
"Ada yang mesej di Instagram, kenapa saya tak cuba untuk sertai Big Stage dan mereka akan menyokong saya jika saya beraksi di program terbabit.
"Saya jelaskan kepada mereka, saya sebenarnya berasal dari AF 2014. Ramai yang terkejut kerana ketika itu, nama saya kurang menyerlah.
"Alhamdulillah, biarpun rezeki baru datang sekarang untuk mula dikenali, saya rasa sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk menapak dalam bidang seni," katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Muna bakal membuat persembahan istimewa bersempena Celcom XPAX Kejohanan E-Sukan Kampus Zon Tengah anjuran MPD yang bakal berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini di Dewan Berlian, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam, Selangor.
Selain Muna, penyanyi lain seperti Wany Hasrita, Nabila Razali, Haqiem Rusli dan Amir Hasan akan turut menghiburkan penonton dalam satu konsert mini.
Dalam pada itu, konsert akhir Big Stage 2019 bakal berlangsung pada Ahad, 6 Oktober ini.
Dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Alhadad, Big Stage 2019 dibawakan kepada anda oleh VIVO dan Perodua selaku penaja utama dan Farm Fresh selaku penaja bersama.
Saksikan saingan antara Han Byul, Neeta, Irfan Haris, Dinda Permata dan Adzrin di konsert akhir Big Stage 2019 pada Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).
Personaliti radio ERA, Radin bersama alumni Big Stage musim pertama, Sissy Imann mengacarakan Big Stage Live Plus yang disiarkan serentak sewaktu berlangsungnya konsert mingguan di platform digital.
Layari laman web bigstage.gempak.com untuk segala informasi mengenai program ini!