Pengarah Mamat Khalid menegaskan watak Husin yang sinonim dengan penyanyi dan pelakon Datuk Awie tetap ada di dalam drama Kampong Pisang Bersiri-siri.

Menerusi trailer drama bersiri Astro Originals yang mula disiarkan di semua platform laman sosial, ramai wargamaya yang menyatakan tidak nampak kelibat Datuk Awie sebagai Husin.

“Datuk Awie ada dalam Kampong Pisang Bersiri-siri, tetap menjadi Husin di mana nanti dia akan muncul dalam episod bersama zombi.

Kampong Pisang Bersiri-siri semua sekali ada 12 episod dan abang rasa Husin tak perlu ada dalam setiap episod.

“Jadi abang buatkan dia dalam dua episod khas. Kampong Pisang kena ada Husin tapi pada abang bukan tidak perlu untuk setiap episod,” ujar Mamat kepada Gempak sewaktu majlis sidang media virtual Kampong Pisang Bersiri-siri baru-baru ini.

Kampong Pisang Bersiri-siri menghimpunkan barisan watak komedi daripada francais terdahulu antaranya, Pak Jabit dan Husin daripada filem Zombi Kampung Pisang, Kak Limah (Hantu Kak Limah), Cik Purnama, Chomprak, Joko Anuar, Pembantu Perubatan (Hantu Kak Limah Balik Rumah) dan penampilan watak Barkoba daripada 16 dan 17 Puasa.

Malah, turut memperkenalkan watak sampingan baru seperti Pak Kasim, Pak Din ‘Pest Control’, Pak Karim dan Cik Chun.

Kampong Pisang Bersiri-Siri akan bersiaran sebanyak 12 episod bermula 7 Disember ini, setiap Isnin, pukul 9.00 malam, di Astro Citra, saluran 108 (HD) / 128 (SD).