“Ramai Yang Mahu Saya Nyanyi Versi Bahasa Melayu,” - Masya Masyitah Tampil Dengan Remuk
Mya Amri
08/10/2021 06:50 MYT
08/10/2021 06:50 MYT
Penyanyi, Masya Masyitah kini tampil dengan single terbaharu berjudul Remuk.
Menurut Masya, Remuk merupakan versi Bahasa Melayu buat single terdahulunya dalam Bahasa Mandarin iaitu Jiu Meng Xin Su.
“Alhamdulillah, baru tiga bulan saja Jiu Meng Xin Su dilancarkan, penerimaan terhadap single solo Mandarin pertama saya ternyata membuahkan hasil.
“Saya pun tak sangka, ramai pula yang mahukan saya menyanyikan lagu tersebut dalam Bahasa Melayu.
“Jadi pihak pengurusan saya iaitu Rocketfuel Entertainment mengambil keputusan untuk merakamkan semula lagu itu dalam Bahasa Melayu, maka terlahirlah Remuk,” katanya.
Jelas Masya, lagu yang dinyanyikan dalam Bahasa Melayu ini agak berbeza dari segi liriknya.
“Liriknya pada kali ini diolah dengan jalan cerita berbeza serta pengakhiran yang menyayat hati oleh penulis lirik terkemuka negara, saudara Siso dan produser berpengalaman, Sharon Paul.
“Hati saya terus terpaut apabila mendengar demo lagu asal ditambah dengan jalan ceritanya yang menyentuh hati.
“Encik Feros yang membuat keputusan agar pihak RocketFuel Entertainment menerbitkan lagu ini, dan dia jugalah yang bertanggungjawab mencadangkan agar lagu ini dinyanyikan semula dalam Bahasa Melayu,” jelas Masya.
Dalam pada itu, Ketua Label & Penerbitan RocketFuel Entertainment, Jipie, berkata Masya juga merupakan seorang penyanyi yang berbakat besar.
“Kemampuannya menyanyi dalam Bahasa Mandarin sudah pun diakui apabila dia menjuarai Yippi Star Quest 2020 mengalahkan 3,000 peserta lain serata Asia.
“Saya berharap agar single Remuk diterima ramai sebagaimana single Jiu Meng Xin Su dan mendapat tempat di hati para pendengar rempatan.
“Proses rakaman ini hanya memakan masa selama satu hari dan berlangsung dengan lancar takala negara masih lagi dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” ujarnya.
Mengulas mengenai Remuk atau Jiu Meng Xin Su, penulis lirik dan komposer, Kai Kai dan produser Ong Peng Chu menghasilkan ciptaan istimewa ini khas buat Masya.
“Lagu ini saya ciptakan khas buat Masya kerana kebolehannya menyanyi dalam bahasa Mandarin dengan fasih.
“Manakala untuk Peng Chu pula, dia mahukan Masya menyanyikannya dengan stail slow rock ala Melayu bagi memberi kelainan terhadap lagu tersebut,” ulas Kai Kai.
Di samping itu, Masya juga menyimpan hasrat agar lagu ini bisa mendapat sambutan hangat pendengar.
“Harapan saya adalah agar single Remuk ini mendapat sambutan ramai sebagaimana single yang terdahulu.
“Saya juga masih berharap jika ada peluang dan rezeki, hasil karya saya juga dapat menembusi pasaran negara China pada satu hari nanti.” katanya.
Remuk boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan.
Lagu ini juga boleh didengar dan dinikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer.
Video muzik (MV) single ini pula boleh ditonton secara eksklusif di YouTube RocketFuel Network.
Remuk menceritakan tentang perasaan seorang isteri yang dinikahi suaminya tanpa perasaan cinta.
Sang suami berkahwin dengan isterinya kerana perasaan ego yang menebal dengan tidak mengendahkan perasaan seorang isteri.
Akan tetapi, sang isteri tetap cuba mendekati sang suami hari demi hari.
Bagaimanapun dia akhirnya terpaksa akur dan memendam perasaan, ibarat terjerat dalam sangkar emas tanpa sekelumit rasa bahagia.