HIBURAN
Ramai Yang Salah Faham, Ibu Anna Jobling Jelaskan Sebab Guna Peguam - "Tak Berlawan Dengan Anak Sendiri"
Ibu kepada pelakon , Anna Jobling, Ariz Arop tampil menjelaskan punca sebenar dia mendapatkan khidmat peguam berhubung kemelut yang sedang melanda hubungan mereka sejak akhir tahun lalu.
Menurut Ariz, tindakan tersebut bukanlah bertujuan untuk ‘berlawan’ dengan anak kandungnya sendiri, sebaliknya kerana perlu menjawab surat teguran yang dihantar oleh peguam pihak Anna.
“Sejak terlalu ramai yang membuat komen, andaian dan tuduhan melulu tentang kenapa aunty ambil khidmat peguam ke atas Anna. Yang kata aunty nak berlawan dengan anak sendiri sampai ambil lawyer. Tidak sama sekali.
“Aunty nak jelaskan sedikit. Pertama sekali, peguam Anna hantar surat teguran kepada aunty dahulu. Jadi aunty kena jawab surat tersebut dengan peguam juga. Tak boleh jawab sendiri apabila sebelah pihak menggunakan peguam,” katanya menerusi hantaran di Instagram, hari ini.
Tambah Ariz, tindakan itu juga susulan kes injunksi yang difailkan oleh pihak Anna terhadapnya pada Disember tahun lalu.
“Kedua, dalam kes injuksi yang Anna hantar kepada aunty sebelum ini pada bulan 12 tahun lepas, aunty juga sama ada suka atau tidak harus mengambil khidmat peguam untuk mewakili aunty bagi menjawab injuksi tersebut.
“Peguam yang sama mewakili aunty bagi kedua-dua kes,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ariz mengakui situasi yang dilaluinya adalah sesuatu yang berat untuk diterima oleh mana-mana ibu.
“Percayalah dalam hidup ini, tak ada ibu yang nak melalui apa yang sedang aunty lalui. Tiada ibu yang dengan niat baik untuk menjaga akidah anak seharusnya melalui apa yang aunty lalui. Allah Maha Mengetahui.
“Aunty doakan buat semua ibu di luar sana, semoga anda tidak akan lalui apa yang aunty lalui. Namun, inilah takdir dan ujian dari Allah SWT aunty terima, alhamdulillah. Semoga ada pelangi selepas hujan,” ujarnya.
Sebelum ini, Ariz ada berkongsi foto bersama peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kader yang dipercayai untuk menyelesaikan isu bersama Anna.
Terdahulu, kemelut hubungan anak-beranak itu menjadi perhatian selepas tular rakaman video Ariz mendakwa dirinya dilayan dengan hina oleh Anna, termasuk digelar seperti ‘anjing kurap’ dan diminta keluar dari kereta oleh peguam anaknya.
Pada Ahad lalu, Ariz turut memuat naik foto berada di balai polis sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi netizen. Difahamkan, wanita itu mendakwa Anna tergamak melakukan perintah injunksi terhadapnya.