Menjadi di antara mereka yang pertama mendapat vaksin untuk Covid-19,pengacara terkemuka Datuk Aznil Haji Nawawi mengambil kesempatan untuk menemubual Dr Amalina Bakri yang berada di London, United Kingdom (UK).

Temubual tersebut dilakukan secara live di Instagram milik Aznil atau lebih mesra dengan panggilan PakNil.

"Di UK sekarang ni ada beberapa suntikan yang telah mendapat kelulusan dan saya mendapat suntikan vaksin daripada Pfizer, vaksin yang pertama diluluskan oleh kerajaan UK.

"Kita ada sistem, pertama sekali diberikan kepada orang-orang tua yang lebih 80 tahun ke atas, terutamanya mereka yang berada di rumah jagaan, lepas tu mereka yang menjadi penjaga kepada orang-orang tua ini (caretakers), kemudiannya petugas-petugas kesihatan seperti doktor, jururawat, mereka yang berada di barisan hadapan (frontliners) yang menjaga pesakit di hospital, dan kemudiannya mengikut peringkat umur," jawab Amalina ketika ditanya oleh PakNil tentang sistem pemberian vaksin di UK.

Tambah Amalina lagi, pemberian vaksin adalah percuma kepada semua orang yang tinggal di UK. Ditanya oleh PakNil sama ada terdapat paksaan untuk mereka mengambil vaksin tersebut, Dr Amalina memberitahu tiada paksaan.

"Kita tak memaksa. Orang ramai yang datang diberi pilihan selepas diberi kaunseling kepada mereka. Apabila kita menawarkan vaksin atau perubatan kepada orang ramai, kita beri maklumat yang teliti dan menyeluruh tentang vaksin tersebut. Jadi menjadi pilihan mereka untuk mendapatkan vaksin atau tidak.

PakNil turut bertanyakan kepada Dr Amalina kenapa kerajaan UK tidak menjadikan pengambilan vaksin sebagai mandatori kepada semua memandangkan virus Covid-19 sangat berbahaya dan mudah berjangkit kepada orang lain.

"Ianya sedikit rumit untuk mewajibkan semua orang mengambil vaksin. Ada pros and cons dan banyak perbahasan yang berlaku. Kita perlu memastikan memberikan penjelasan terbaik kepada semua orang. Kita tak boleh memaksa orang.

"Apa-apa rawatan sekalipun, saya perlu memberitahu kebaikan dan risiko kepada pesakit. Kita bincang dengan pesakit dan memberikan recommendation dan pesakit yang akan membuat pilihan untuk terima pendapat doktor atau tidak.

"Sebagai seorang doktor, saya dididik untuk membaca artikel-artikel akademik, artikel-artikel kajian tentang vaksin dan saya sendiri terlibat dengan kajian vaksin bersama Oxford dan Imperial daripada fasa satu hingga fasa dua.

"Saya menjadi antara doktor yang mencari sukarelawan, dan menerangkan tentang kebaikan dan risiko kepada sukarelawan ini. Mereka kemudian dimonitor sebelum dan selepas untuk memastikan tidak ada reaksi alahan yang merbahaya kepada mereka," terang Dr Amalina kepada PakNil.

Sebagai seorang pengacara yang cukup berpengalaman, pertanyaan yang diutarakan oleh PakNil begitu tepat untuk mengulas segala tanda tanya yang bermain di fikiran ramai yang mahukan jawapan serta penerangan terperinci mengenai vaksin Covid-19 ini.

Ditanya kepada Dr Amalina bagaimana vaksin Covid-19 ini begitu cepat dihasilkan berbanding vaksin kepada penyakit-penyakit berbahaya lainnya yang sudah lama berada dalam kehidupan kita, ini jawapan Dr Amalina.

"Ramai juga tanya kenapa proses itu cepat. Yang pertamanya kita dapat banyak pembiayaan daripada semua sehingga berpuluh-puluh juta dan semua orang daripada pelbagai bidang bekerjasama untuk menghasilkan vaksin tersebut serta bersama untuk mencari vaksin tersebut.

"Biarpun ianya dilakukan secara berperingkat seperti di makmal, fasa satu, fasa dua, fasa tiga, ujian kepada sukarelawan dan lain-lain, tetapi kerana kita mendapat banyak pembiayaan, kita dapat mempercepatkan setiap peringkat serta dibuat dalam satu masa yang sama," terang Dr Amalina.

Dr Amalina turut berkongsi pengalaman mengambil vaksin Covid-19 bersama-sama PakNil dan mereka yang menonton live tersebut.

"Mereka akan monitor dalam 15 minit pertama setelah mendapat vaksin untuk memastikan tidak ada tidak balas alahan terhadap vaksin tersebut. Jika ada tindak balas alahan, ada pakar yang akan memberikan suntikan untuk memastikan semuanya selamat.

Setakat ini sudah berpuluh juta orang mendapatkan vaksin dan di UK sahaja sudah 8 juta orang yang mendapat vaksin sekurang-kurangnya vaksin pertama. Daripada sejuta orang yang mendapat vaksin, hanya 11 orang yang mengalami alahan teruk. Jadi, alahan teruk yang dialami merupakan kes-kes terpencil sahaja," terang Dr Amalina lagi tentang vaksin yang diterima.

Dr Amalina juga turut menerangkan tentang perbezaan antara alahan kepada vaksin dengan kesan sampingan terhadap vaksin yang perlu diketahui oleh semua.

Selain berkongsi mengenai vaksin, Dr Amalina turut berkongsi sedikit sisi peribadinya apabila ditanya oleh PakNil tentang perkahwinannya yang terpaksa ditangguhkan.

"Memang merancang untuk berkahwin pada tahun ini, tetapi buat masa sekarang ditangguhkan dulu kerana Covid yang melanda. Insya-Allah, bila dah habis lock-down di UK nanti dan bila sudah mendapat tarikh yang bersesuaian, saya akan kongsikan dengan semua," kata Dr Amalina.

A post shared by Datuk Aznil Hj Nawawi (@aznilnawawihm)


Live selama hampir sejam lima belas minit ini boleh anda saksikan di Instagram Paknil. Sehingga artikel ini ditulis, sudah menghampiri 110,000 tontonan yang menyaksikan temubual eksklusif PakNil bersama Dr Amalina Bakri tersebut.