Penulis novel terkemuka, Ramlee Awang Murshid gembira dan berpuas hati dengan naskah Tombiruo yang difilemkan.

Ramlee, 49, terlibat dengan proses penghasilan filem Tombiruo semenjak hari pertama lagi.

"Selepas melihat hasilnya, saya gembira dan berpuas hati. Saya faham, sukar untuk menzahirkan sebuah novel dalam sebuah naskah filem tetapi Tombiruo memenuhi kehendak saya.

"Saya terlibat dengan filem ini semenjak awal. Mustahil untuk menceritakan semua isi novel untuk diterjemahkan dalam versi layar lebar.

"Tenaga produksi filem berusaha sehabis baik agar isi kandungan utama novel terkandung dalam babak-babak filem agar jalan cerita asal dikekalkan," kata Ramlee.

Gementar menanti penerimaan peminat, Ramlee berharap agar orang ramai dapat menyokong filem ini.

"Sejujurnya, saya rasa gementar. Novel ini sudah bertapak hampir 20 tahun dalam hati peminat. Semenjak diterbitkan pada tahun 1998, ramai pembaca berharap agar novel ini difilemkan.

"Alhamdulillah, filem ini akan menemui penonton dan pembaca setia karya saya. Saya harap agar semua pihak dapat menyokong dan menerima karya ini," kata Ramlee ketika ditemui pada Majlis Tayangan Malam Gala Filem Tombiruo, di MBO The Starling, Damansara, baru-baru ini.

Jangan lupa untuk menyaksikan filem adaptasi karya novelis thriller no 1 Malaysia, Tombiruo, di pawagam bermula 12 Oktober ini.

Filem Tombiruo membariskan Zul Ariffin, Nabila Huda, Faizal Hussein, Farah Ahmad, Atu Zero, Hasnul Rahmat, Michael Chen, Datuk M. Nasir, Datin Marlia Musa dan ramai lagi.

Teks Oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @astroshaw