Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Ramona Zam Zam Tak Risau Penyondol- "Suami Tak Main Media Sosial, Tu Yang Tenang Sedikit"

Syafiqah Jalal
18/05/2023 07:43 MYT
Pelakon Ramona Zam Zam yakin suaminya yang berasal dari Palestin, Rami Alaskar seorang yang setia dan fokus kepada keluarga.

Malah Ramona tidak bimbang jika ada pihak ketiga atau 'penyondol' yang akan menggangu rumah tangganya, memandangkan suaminya itu tidak aktif di media sosial.

“Saya bukan tak takut kepada penyondol, tetapi Alhamdulillah sepanjang lapan tahun mendirikan rumah tangga kami sentiasa mengingatkan supaya setia terhadap satu sama lain.

"Lagipun dia tak main media sosial tu yang rasa boleh bertenang sedikit kerana dia tak terdedah dengan kenalan dari luar. Dia bukan tak nak tapi malas katanya.

“Jadi sudah tentu perkara ini sebenarnya bawa kedamaian, cuma sebelum ini dia ada tertanya-tanya kenapa saya pula terlalu fokus pada telefon. Saya terangkan ini juga sebahagian kerja, tetapi berpada-pada” katanya kepada Gempak.

Ramona ditemui ketika majlis pelancaran program Mega Spontan siaran Astro Warna baru-baru ini.

Tambah Ramona lagi, suaminya juga seorang yang ringan tulang dan mengambil alih banyak perkara dalam menguruskan satu-satunya anak mereka.

“Jika saya menjalani penggambaran, dia yang banyak menguruskan perniagaan dari rumah akan menguruskan anak, apabila dia keluar mesyuarat atau kerja di luar, saya pula ambil alih tugas di rumah.

“Justeru kami berdua umpama satu pasukan yang saling menyokong," ujarnya.

Selain Ramona, artis dan selebriti yang menyertai rancangan ini termasuk Roy Azman, Datuk Jalaluddin Hassan, Mark Adam, Atu Zero, Joey, Adlin Aman Ramli, Ramona Zam Zam dan Aya Amiruddin.

Mega Spontan yang berformat game show komedi disertai 20 peserta itu dibahagikan kepada empat kumpulan dan dijadual menemui penonton pada setiap Jumaat mulai 19 Mei ini di Astro Warna.

;