Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

"Rancangnya Sebelum Kahwin Lagi..." - PU Riz Buka Klinik Estetik, Hey Lelaki Pun Perlu 'Cantik' & Bersih!

Amri Hassan
21/02/2023 01:50 MYT
Selepas beberapa rangkaian perniagaan diusahakan, pendakwah bebas dan selebriti Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz melangkah setapak lagi dalam perniagaan kecantikan.

Tidak menjual produk kosmetik, tapi PU Riz bersama rakan perniagaannya Dr Aizul Hafizi membuka pusat rawatan estetik iaitu Airiz Aesthetic Center.

Menariknya, pusat itu kombinasi antara perubatan estetik dan tradisional Islam apabila menawarkan rawatan akupuntur dan bekam.

Rancang sebelum kahwin lagi

Riz berkata, perancangan untuk meneroka perniagaan berasaskan rawatan kecantikan itu sudah lama iaitu sebelum berkahwin lagi.

"Perancangannya sudah lama iaitu sebelum kahwin dan ketika saya masih belajar, tapi masa itu ada kekangan. Alhamdulillah sekarang ini ada waktu untuk meneruskannya.

"Saya lihat ia adalah bahagian perniagaan yang baik kerana orang akan sentiasa berulang kali ke sini. Bila ada pengulangan maksudnya bisnes itu bagus. Dalam masa sama, saya minat bekam dan rawatan Islam, jadi kami akan sekalikan nanti. Pusat ini bukan untuk perempuan sahaja dan lelaki juga perlukannya.

"Saya memilih Dr Aizul sebab, satunya disebabkan kawan lama. Awal-awal dulu saya selalu bantu dia untuk buat ulasan tempat dia secara percuma. Jadi, saya rasa selepas itu apa salahnya untuk jalankan bisnes bersama-sama. Doakan supaya kami dapat buka satu cawangan di setiap negeri. Kita lihat bagaimana rezeki yang dapat," katanya.

Harga berpatutan

Menurutnya, Airiz Aesthetic Center menawarkan harga yang berpatutan dengan pakej yang ditawarkan.

"Kalau lihat mereka yang datang adalah dalam kalangan pekerja kerajaan yang sudab stabil. Jadi, kami sasarkan mereka yang berada dalam lingkungan 30 kilometer dari klinik ini. Bagaimanapun, kami menyasarkan seramai mungkin untuk mendapatkan rawatan di sini.

"Harga kami galakkan untuk ambil secara pakej sebab biasanya ia lebih murah dan lama. Saya mahu pastikan rawatan itu dilakukan baru ada hasil yang betul-betul cantik dan bersih. Secara kasarnya, harga rawatan antara RM200 hingga RM250 untuk sebulan," katanya.

Staf lelaki untuk pelanggan lelaki

Sementara itu, Dr Aizul berkata, dia amat menggalakkan kaum lelaki untuk turut mendapatkan rawatan.

"Kita ada beberapa staf lelaki yang membuat rawatan untuk lelaki. Macam saya ada klinik sendiri juga ada staf lelaki dan perempuan. Biasanya peratusan pelanggan lelaki dan perempuan yang datang boleh dikatakan sama sahaja.

"Setakat ini kami mahu fokus cawangan ini dahulu dan lihat bagaimana perjalanannya kerana cawangan ini juga sangat besar. Di sini kami ada lapan bilik rawatan, satu bilik ‘treatment’ termasuk beberapa petugas perubatan.

"Rawatan sebenarnya sama sahaja, tapi bila Riz sertai kami, dia tambah beberapa perkara seperti rawatan akupuntur dan bekam. Ia kombinasi antara perubatan estetik dan tradisional Islam," katanya.

#PU Riz #Akupuntur #Lelaki #Bekam #Airiz Aesthetic Center #Dr Aizul #Klinik Estetik #Tradisional Islam
;