Berita
Rangkaian Astro Radio Pilihan Nombor 1 Di Malaysia
Rangkaian Astro Radio terus menjadi saluran pilihan pendengar apabila menguasai 74.3 peratus daripada 20.3 juta pendengar mingguan pasaran radio di negara ini.
Saluran-saluran radio itu juga mencatatkan jumlah pendengar tertinggi iaitu seramai 15.1 juta pendengar setiap minggu.
Kajian oleh Radio Audience Measurement (RAM) Survey Wave 2 itu turut menunjukkan radio masih relevan sepanjang tempoh pandemik COVID-19 dengan mencapai 93.6 peratus jumlah pendengar yang berusia 10 tahun dan ke atas di Semenanjung Malaysia.
Jenama Astro Radio menduduki tempat teratas di kesemua bahasa; ERA – jenama Bahasa Melayu nombor satu, HITZ - jenama Bahasa Inggeris nombor satu, MY - jenama Bahasa Cina nombor satu, dan RAAGA - jenama Bahasa Tamil nombor satu.
Astro Radio juga memperoleh enam kedudukan tertinggi dalam 10 jenama-jenama teratas.
Hasil kajian turut mendapati stesen ERA kekal sebagai jenama radio teratas di negara ini dengan 6.2 juta pendengar dan mempunyai pendengar eksklusif tertinggi dengan jangkauan 1.3 juta pendengar.
Manakala stesen SINAR pula berada di tempat ke-dua dengan 4.8 juta pendengar.
Untuk rekod, 19 jenama radio komersial turut serta dalam kajian ini.
Pada masa yang sama, Astro Radio juga berjaya mengukuhkan kehadiran digitalnya kepada jumlah keseluruhan 331.2 juta pendengar.
· Peningkatan tontonan video bulanan sebanyak 60% iaitu 176 juta
· Peningkatan penstriman digital bulanan sebanyak +36% iaitu 18.7 juta
· Jangkauan media sosial (Facebook) bulanan sebanyak 102 juta
· Purata pelawat di laman web bulanan sebanyak 11.2 juta
Tinjauan kajian ini dilakukan selama enam minggu dengan gabungan buku harian radio tradisional (75 peratus) dan e-diari (25 peratus) diedarkan kepada 6,000 individu unik di seluruh Semenanjung Malaysia untuk mendapatkan tabiat mendengar mereka.