Laman Utama
Rap Der Raya, Lagu Raya versi Hip Hop! Siap Ada Kmy Kmo, Luca Sickta Dan Yonnyboii Tau
Menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, sebuah lagu raya terbitan Def Jam Malaysia berjudul Rap Der Raya menampilkan 6 orang penyanyi hip hop berbakat besar iaitu Yonnyboii, Kmy Kmo, Luca Sickta, Siqma, Asyraf Nasir dan Abubakarxli.
Rap Der Raya merupaka ciptaan asal Yonnyboii dan diberi sentuhan istimewa dengan kerjasama Luca Sickta ini memberikan nafas baru dalam ‘trend’ penulisan lagu raya yang sudah ada sediakala.
Menekankan genre hip-hop yang dibawa oleh kesemua artis ini, mereka percaya bahawa Rap Der Raya bakal memberi impak yang besar kepada dunia seni tanah air.
Advertisement
Selaku tunjang utama dalam Rap Der Raya, Yonnyboii menyatakan harapan agar lagu ini diterima dan membuka hati para pendengar untuk menghayati lagu dari generasi baru.
Menurut Yonnyboii, lagu ini telah ditambah ‘perisa’ oleh rakan-rakan duet yang lain daripada ‘demo’ asal yang dihasilkan olehnya sendiri.
“Saya rakam berseorangan sahaja di rumah atas kerana kesibukan jadual harian, dan diberi motivasi untuk meneruskan rakaman daripada Luca Sickta dan Def Jam Malaysia.
“Tentang rakaman video muzik pula sangat menyeronokkan dan banyak pengalaman baru, dapat menegenali artis-artis yang lain dan mereka yang terlibat di sebalik tabir iaitu warga kerja Def Jam Malaysia dan Universal Music Malaysia dengan lebih rapat” katanya.
Salah seorang penerbit muzik untuk Rap Der Raya, Luca Sickta menyatakan lagu ini berpotensi untuk menerapkan mood raya kepada semua yang mendengar.
Alunan melodi asal dari lagu Yonnyboii membuatkan dirinya tertarik untuk menerbitkan ia kembali dalam versi baru. Melodi korus memberi idea untuk dia menyusun komposisi muzik campuran moden dan 80an.
Rap Der raya ialah lagu rap raya pertama dikeluarkan setelah sekian lama. Gabungan 6 rapper dalam lagu ini turut menjadi faktor lagu ini lain dari yang lain.
“Sangat ringkas dan santai, ada pelbagai perspektif didalam lagu ini, Luca mengambil perspektif makanan di hari raya sebagai salah satu intipati seiring dengan konsep lagu ini.
"Segala proses dipermudahkan walau dikala wabak Covid-19 masih lagi menular, proses menyiapkan rakaman lagu ini tidak sampai dua minggu,” ujarnya.
Dalam pada tu, Kmy Kmo memberitahu proses rakaman lagu ray aini merupakan kenangan manis buat dirinya.
“Proses rakaman video muzik Rap Der Raya adalah satu kenangan manis bagi saya, kami dapat rasakan kemeriahan raya lebih awal, seperti satu keluarga besar yang pulang ke kampung dan raikan perayaan Aidilfitri ini bersama-sama dengan penuh gembira.
“Ini kira pertama kali kami digabungkan dalam satu lagu beramai-ramai untuk menjayakan lagu raya ini dan video muziknya bersama. Kita dapat lihat macam-macam telatah, penuh dengan gelak tawa dan riang ria” jelasnya.
Rap Der Raya boleh didengari di kesemua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music manakala muzik videonya pula boleh ditonton di saluran YouTube Def Jam Malaysia.
Must-Watch Video