Berkongsi sedikit sisi peribadinya, penyanyi yang lahir daripada program realiti Akademi Fantasia musim keempat, Diddy Hirdy mengenang kembali saat-saat dia di Akademi Fantasia.

Sedutan daripada program tersebut dikongsikannya di IGTV Instagram miliknya dengan tajuk 'Cinta Mati'.

"Sedikit sedutan Konsert AFMasuk AF4. Rasanya AF musim keempat sahaja yang ada buat macam ini - panggil students yang dah terkeluar untuk bertanding semula di peringkat semifinal untuk merebut satu tempat ke final bersama pelajar-pelajar yang masih bertahan di Akademi.

"Masa ni dah pecah rahsia sangat dah yang saya dah bertunang. Bila dah terkeluar dan berjumpa press, memang payah la nak sembunyi-sembunyi lagi dah status tu. Ada juga sedutan temubual bersama Yasmin Hani untuk Rancangan Muzik@Ria kalau tak silap. (Saya jadi guest artist bersama Ratu Jazz Negara, Datuk Sheila Majid dan memang gemuruhnya tak boleh cakap!)," tulis Diddy mengingat kembali.

Menurut Diddy, dalam temu bual bersama pengacara Yasmin Hani ketika itu, dia turut ditanya tentang status pertunangannya dan diberi nasihat yang berharga untuk dirinya.

"Alhamdulilah, pada ketika ini, saya masih dengan tunang saya tu yang sebelumnya dah berkawan rapat sejak kami berumur 15 tahun lagi dan sekarang dah saya jadikan isteri yang sah selama 11 tahun dan juga menjadi ibu kepada dua anak saya.

"Bila tengok video ni, jauh dah perjalanan kami bersama, segala susah senang dah kami harungi. Dah masak sangat dengan perangai masing-masing. Doakan semoga kasih sayang cinta kami berpanjangan sehingga ke syurga," tulis Diddy lagi.

A post shared by D.Hirdy (@diddyhirdy)


Diddy atau nama sebenarnya Syamsul Hirdy Muhid bertunang pada usia 20 tahun dan berkahwin pada usia 25 tahun bersama Ellen Nor Azah Musa. Pasangan tersebut dikurniakan dengan dua orang cahaya mata, Jauza dan Abid yang dilahirkan di Glasgow, Scotland.