Berita
“Rasa Baru Semalam Duduk Bersama…”- Terbang Ke Jakarta, Zul Ariffin Tak Sempat Beri Penghormatan Terakhir Ashraf Sinclair
Aktor Zul Ariffin terbang ke Jakarta Indonesia semalam bagi memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham Ashraf Sinclair yang meninggal dunia awal pagi Selasa.
Menurut Zul dia sudah cuba sedapa upaya untuk hadir ke pengebumian sahabatnya namun tidak kesampaian.
“Saya di sini, datang secepat yang mungkin. Saya minta maaf kerana tidak berpeluang untuk melakukan solat jenazah, serta mengusung jenazah kamu serta mencium dahi mu untuk kali terakhir,” tulisnya.
Zul berkongsi perkara tersebut di akaun Instagram (IG) miliknya.
Pelakon filem Sangkar itu turut berkongsi momen manis dan detik permulaan perkenalannya dengan Ashraf lebih sedekad yang lalu.
“Ashraf, rasa macam baru semalam kita duduk bersama lepak Mamak di Johor, gelak sakan pasal perjalanan hidup kita bersama.
“Awak adalah kawan sebenar pertama dalam industri dari sama-sama modelling shoots dan kemudian ditolak, lebih membuatkan saya tergelak bila kamu kata hendak berlakon dan kita gelak bersama lagi bila awak kata saya pun patut berlakon juga. Lebih gila bila ada satu masa selepas satu dekad kemudian kita berlakon dalam satu filem yang sama. Tiada siapa jangka kita boleh pergi sejauh ini,” luahnya.
Menerusi Insta Story Zul dia sempat berkongsi fotonya yang berada di pusara Ashraf.
Zul turut mendedahkan Ashraf seorang yang baik dan penyayang terutama dengan isterinya, Bunga Citra Lestari serta anaknya, Noah Aidan Sinclair, 10 tahun.
“Itu semua mengenai kerjaya kita tapi tidak boleh bandingkan dengan malam yang kita berkongsi cerita. Kamu terus ceria dan teruja apabila bercerita mengenai isteri dan anak kamu.
“Lebih-lebih lagi bila Bunga Citra Lestari telefon kamu dan ketika itu kamu sangat gedik dan mengada, rasa nak campak teh tarik kat muka..
“Tapi itu membuktikan betapa kamu cintakan isteri serta anak kamu ia sangat berharga. Kamu sesungguhnya seorang yang baik dan hebat. Saya rindukan kamu,” katanya lagi.
[[BACA: Ashraf Sinclair Meninggal Dunia Kerana Serangan Jantung]]
Ashraf Sinclair, pelakon kelahiran Malaysia yang menempa nama di Indonesia itu dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung pada pagi Selasa.
Allahyarham meninggalkan seorang balu dan anak lelaki bernama Noah Aidan Sinclair berusia 10 tahun.
Must-Watch Video