Laman Utama

Rasa Bersalah Jadi Punca Jalan Jammed, Caprice ‘Belanja’ Minyak Free Lagi Tapi Kali Ini Kepada…

gempak
Azwa Rahman
24/09/2022
00:11 MYT
Sponsor Banner
Rasa Bersalah Jadi Punca Jalan Jammed, Caprice ‘Belanja’ Minyak Free Lagi Tapi Kali Ini Kepada…
Penyanyi rap sensasi Caprice memohon maaf secara terbuka kepada pengguna jalan raya kerana telah menjadi punca kesesakan lalu lintas yang teruk ketika membuat pemberian minyak petrol percuma kepada orang ramai di stesen minyak Petronas Jalan Jelatek II, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur, petang semalam.
Menurut Caprice atau nama sebenarnya Aris Ramli, 34, dia tidak menyangka ratusan orang ramai akan membanjiri stesen minyak tersebut untuk merebut pemberian minyak petrol percuma.
Menerusi lamab sosial Instagram, Caprice berkongsi permohonan maaf tersebut untuk tatapan umum.
“Pertama sekali saya ingin memohon maaf kepada pengguna jalan raya di sekitar Titiwangsa, Setiawangsa, Keramat sehingga ke Ampang kerana berlaku kesesakan teruk hari ini.
“Saya sendiri tidak sangka suasana menjadi kecoh dan ‘havoc’ sehingga berlaku kesesakan jalan raya yang teruk sehingga ke KLCC.
“Walaupun telah dibantu oleh Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan polis, kami masih tidak dapat mengawal kesesakan jalan raya.
“Sebagai penganjur, saya memohon maaf,” jelasnya menerusi sebuah video yang dimuat naik.
Bukan itu sahaja, gara-gara kehabisan petrol untuk diberikan kepada pengguna jalan raya yang masih beratur panjang, stesen minyak tersebut terpaksa ditutup sementara.
“Selepas kehabisan petrol, kami terpaksa menutup stesen minyak buat sementara walaupun masih ramai yang beratur,” katanya.
Sementara itu, Caprice turut meluahkan rasa bersalah kerana ada kakitangan kerajaan masih tidak dapat mengisi minyak walaupun sudah beratur berjam-jam lama.
“Saya perasan ramai pengguna dalam kalangan kakitangan kerajaan seperti askar dan jururawat yang beratur tidak dapat mengisi minyak walaupun telah lama beratur.
“Saya rasa bersalah sebab keluarga saya juga merupakan kakitangan kerajaan. Ibu saya merupakan seorang jururawat dan ayah saya pula bertugas di Wisma Putra. Saya rasa teruk sangat,” ujarnya.
Sebagai langkah memujuk, Caprice mengumumkan akan menganjurkan sekali lagi pemberian petrol secara percuma khas untuk kakitangan kerajaan di Kuala Lumpur serta di Pulau Pinang pada minggu hadapan.
“Saya mahu buat sekali lagi pemberian petrol secara percuma khas untuk kakitangan kerajaan sahaja di Kuala Lumpur dan di Pulau Pinang untuk semua orang pada minggu hadapan. Insya-Allah.
“Doakan pasukan saya dapat beri macam-macam barang untuk belanja rakyat,” katanya.
Terdahulu, Caprice membelanjakan sebanyak RM10,000 untuk agihan minyak petrol secara percuma kepada orang ramai.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live