Pelakon kelahiran Singapura yang mencipta nama di Malaysia, Hannah Delisha menceritakan pengalamannya berdepan dengan ular hitam.

Menurut Hannah, kejadian itu berlaku ketika menjalani penggambaran filem terbaru lakonannya, Langsuir pada tahun lalu.

"Kejadian itu terjadi ketika saya sedang menanti babak seterusnya. Ketika itu, saya sedang memakai kain pelikat dan secara tiba-tiba, saya rasa geli di bahagian kaki," katanya.

Dengan bantuan krew produksi, Hannah berjaya melalui detik cemas tersebut.

"Bila saya periksa, rupa-rupanya ular hitam sedang menjalar di kaki saya. Saya rasa sangat terkejut!

"Terus saya campak ular itu dengan bantuan krew produksi," kata Hannah.

Hannah ditemui di majlis pelancaran telefon pintar terbaru Huawei, Nova 3 dan Nova 3i di Lightbox, Sungai Buloh pada Khamis lepas.

Filem Langsuir arahan Osman Ali tersebut turut dibintangi oleh Syafiq Kyle, Julia Farhana dan ramai lagi dan bakal ditayangkan di pawagam bermula September ini.

Teks : Asraf Aided