Rasa Gembira & Bertuah Dapat Bergandingan Dengan Nam Ron - Putri Hanan

Kamaruddin Razal
Oktober 2, 2017 12:00 MYT
Bakat baru dalam dunia lakonan, Putri Hanan Ahmad Shukri, 21, meluahkan rasa gembira kerana dapat bergandingan dengan pelakon hebat seperti Nam Ron.
Hanan dan Namron bergandingan dalam filem televisyen terbaru, Che Pa yang sedang ditayangkan di Astro First Eksklusif.
"Che Pa merupakan kemunculan pertama saya dalam dunia lakonan. Alhamdulillah, saya rasa sangat gembira dan bertuah kerana dapat berlakon dan bergandingan dengan Nam Ron.
"Bekerja dengan Nam Ron umpama mimpi. Nam Ron merupakan seorang aktor berbakat besar dan pernah menggeggam trofi pelakon terbaik. Sebagai bakat baru, saya banyak belajar dari Nam Ron dan rasa kerdil kerana dapat digandingkan bersama," kata Hanan kepada Astro Gempak.
Menerusi Che Pa, Hanan membawa watak sebagai Bibah, anak kepada seorang lelaki lembut bernama Che Pa yang diakonkan oleh Nam Ron.
"Saya juga rasa bertuah kerana dapat berlakon bawah arahan Sabri Yunus. Nam Ron dan Sabri banyak membantu saya di set penggambaran. Saya banyak meminta nasihat mereka agar saya dapat menjiwai watak Bibah dengan sebaik mungkin," katanya lagi.
Selain Nam Ron dan Hanan, Che Pa turut dibintangi oleh Ezany, Amyza Aznan, Allahyarham Yus Jambu, Saidi Sabri dan ramai lagi.
Saksikan Che Pa bermula 21 September di Astro First Eksklusif, saluran 480 dan platform ‘on demand’. Dengan hanya RM 15.90 (termasuk GST) untuk sebuah filem, penonton boleh menyaksikan filem ini berulang kali dalam tempoh 48 jam dari waktu pembelian.
Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @putrihanan
#Che Pa #Nam Ron #Putri Hanan