VIRAL
"Rasa Janggal Tapi Buat Sebab ..." - Aaron Aziz Bertegas Takkan Berlakon Watak Lembut Lagi, Tak Berani Katanya!
Pelakon kacak Datuk Aaron Aziz menegaskan dia tidak akan melakonkan watak lelaki lembut lagi dalam mana-mana produksi filem atau drama.
Jelas Aaron, tindakannya untuk melakonkan watak jurusolek bernama Ziana dalam All Stars Buka Panggung baru-baru ini hanyalah sekadar untuk sketsa pendek dan memenuhi keperluan program semata-mata.
"Kalau saya satu-satunya memainkan peranan lelaki lembut, akan rasa janggal tetapi mujurlah Shahrol pun berlakon sama seperti saya.
"Bukannya untuk 15 episod pun saya kena jadi lelaki lembut, saya fikirkan orang keluarkan duit untuk mengundi saya, jadi saya harus berikan sesuatu yang berbeza biar mereka terhibur dan tak bosan dengan watak tipikal saya.
"Produser pun sudah maklumkan regu lakonan saya akan memberikan bayangan untuk saya buat apa, jadi saya turutkan saja.
"Ia hanya untuk rancangan itu sahaja, saya tak terfikir untuk berlakon watak lembut dalam mana-mana filem atau drama lagi. Belum berani," katanya yang ditemui usai rancangan All Stars Buka Panggung di Royal Theatre Shah Alam baru-baru ini.
Mengulas lebih lanjut, watak lelaki lembut bukan watak yang diidamkannya sebagai pelakon.
"Ramai yang berlakon watak lelaki lembut kerana mahu buktikan diri sebagai pelakon versatil.
"Tetapi bagi saya ia bukanlah satu watak yang diidam-idamkan pun atau saya tidak diberikan peluang selama ini sampai lepas gian kononnya di pentas All Stars Buka Panggung, bukan!
"Saya bukan tak suka watak itu, tetapi tak boleh," tegas Aaron lagi.
Namun, Aaron tidak menolak seandainya diberikan peluang untuk melakonkan watak lelaki lembut berdasarkan kisah sebenar atau biografi individu yang mampu menyuntik inspirasi kepada penonton.
"Kalau ceritanya bagus, ada maksud yang menarik mungkin saya akan buat.
"Misalnya kisah sebenar orang yang susah jadi senang.
"Tetapi kalau skrip bodoh-bodoh saya takkan buat!" tambah Aaron.
Pada episod pertama All Stars Buka Panggung Jumaat lalu, Aaron dijulang sebagai juara mingguan menumpaskan tiga pencabar lain iaitu Naim Daniel, Yusry Abdul Halim dan Liyana Jasmay.
Aaron bakal berentap pula dalam pusingan suku akhir pada minggu keenam All Stars Buka Panggung.
All Stars Buka Panggung merupakan rancangan yang menguji dan mencabar pelakon untuk beraksi dalam babak komedi pentas secara spontan tanpa bantuan skrip.
Program ini menampilkan Ajak dan Shahrol sebagai pengacara.
Rancangan ini disiarkan secara eksklusif di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124) serta boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan secara strim di On Demand.
All Stars Buka Panggung akan bersiaran selama 7 minggu pada setiap Jumaat, pukul 9 malam secara langsung dari Royal Theatre, Shah Alam.